Anda di sini

Festival Filem Busan dibuka dengan kehadiran bintang utama Asia

Advertisement
DAICHI WATANABE  & ERIKA KARATA
DAICHI WATANABE & ERIKA KARATA

ANCAMAN daripada Taufan Kong-Rey gagal menyuramkan pembukaan Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) Ke-23 yang gilang-gemilang pada Khamis lepas, dengan barisan bintang paling menyinar di rantau ini menyerikan hamparan permaidani merah.

Penyanyi K-pop yang kini semakin aktif berlakon dari Korea Selatan Choi Soo-young disertai di gala pembukaan festival oleh bintang seperti aktres dari Hong Kong, Sammi Cheng yang hadir ke festival bersama drama ‘First Night Nerves’, dan Zhao Tao dari China, yang membintangi filem cereka terbaharu arahan Jia Zhangke ‘Ash is Purest White’.

Komposer veteran dan pemain piano dari Jepun, Ryuichi Sakamoto, yang hadir untuk menerima anugerah Pembuat Filem Terbaik Asia, naik ke pentas untuk mempersembahkan lagu tema dari skor muziknya yang memenangi anugerah Oscar bagi ‘Merry Christmas, Mr Lawrence’.

Sakamoto turut menyediakan skor muzik untuk filem cereka animasi ‘My Tyrano: Together, Forever’, satu penerbitan bersama Korea-Jepun-China yang mengadakan tayangan perdana dunia di Busan.

Komposer itu berkata dia harap temanya mengenai keamanan dan toleransi akan bergema dengan perkembangan politik kebelakangan ini di rantau ini.

“Ia nampak akhirnya bahawa keamanan akan datang ke semenanjung Korea dan sebagai orang Asia, ini amat menggembirakan saya,” kata Sakamoto.

“Filem membantu menghubungkan orang dan ini juga apa yang dibuat oleh festival filem ini.”

Pembuat filem antarabangsa yang terkenal dan menghadiri acara pada tahun ini termasuk penerbit Hollywood, Jason Blum (‘Whiplash’, ‘Get Out’) dan pembuat filem hit dari India, Rajkumar Harani (‘3 Idiots’).

Penganjur festival bersiap sedia untuk ketibaan Taufan Kong-Rey yang tidak dapat dielakkan pada Sabtu, selepas taufan itu diramal akan mendekati pantai Korea Selatan dalam tempoh 48 jam seterusnya.

Selepas diturun taraf daripada status Taufan Super pada Khamis lepas, penganjur berharap taufan itu akan semakin reda apabila ia bergerak ke utara.

Walau apa pun, biro cuaca tempatan membayangkan kemungkinan 80 hingga 90 peratus bahawa taufan akan melanda tepat ke atas Busan, dengan ribut selaju 110 kilometer sejam dan hujan lebat.

Acara pertemuan dengan orang ramai yang dijadualkan di Pantai Haeundae di bandar raya tersebut, dengan memaparkan artis seperti bintang tempatan Moon So-ri, sudah dipindahkan ke tempat tertutup di Pusat Filem Busan bagi tempoh beberapa hari akan datang, dengan memori mengenai huru-hara yang dicetuskan oleh Taufan Chaba pada 2016 masih segar dalam minda penganjur.

Pada tahun ini, mereka tidak mengambil sebarang peluang selepas taufan itu mencabut pentas dan memusnahkan bahan yang dipamerkan di festival itu.

Tayangan perdana dunia bagi drama Korea Selatan ‘Beautiful Days’ membuka festival itu Khamis lepas, dibintangi aktres sanjungan Lee Na-young dalam watak pertamanya dalam tempoh enam tahun.

Lee membawa watak seorang ibu dari Korea Utara yang bersatu semula dengan keluarganya selepas dia lari ke Korea Selatan untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Pengarah Jero Yun memberitahu sidang akhbar pembukaan di festival itu, tema perdamaian dalam filem itu merupakan reaksi langsung kepada harapannya sendiri agar perhubungan di antara Korea Utara dan Korea Selatan akan semakin pulih.

“Seperti di dalam filem saya, dialog adalah langkah pertama,” kata Yun.

“Saya mahu menyampaikan mesej yang positif kepada hadirin dan harapan agar kita melihat dialog itu diteruskan.”

- PERMULAAN BAHARU -

Penganjur festival meletakkan edisi 2018 sebagai permulaan baharu bagi acara berpengaruh itu, yang pernah mengalami pemotongan pembiayaan daripada kerajaan dan kemelut bilik belakang sejak mereka menayangkan dokumentari kontroversi ‘The Truth Shall Not Sink with Sewol’ pada 2014.

Filem itu mengkritik cara Seoul menangani kejadian feri karam yang tragis dan mengorbankan lebih 300 orang pada April 2014 - kebanyakan mereka kanak-kanak sekolah.

“Sudah tentulah kita teruja untuk kembali dan kita teruja mengenai masa depan Busan dan filem Korea,” kata pengarah festival Jay Jeon.

Jeon dan pengerusi jawatankuasa penganjur BIFF Lee Yong-kwan dipecat daripada jawatan mereka dahulu di BIFF sewaktu kemelut berhubung dokumentari Sewol, tetapi kedua-duanya telah dilantik semula untuk acara pada tahun ini.

Acara kemuncak yang dijangkakan termasuk tayangan perdana dunia pada Jumaat bagi drama bertemakan teater ‘First Night Nerves’ olahan pengarah dari Hong Kong, Stanley Kwan, selain tayangan perdana dunia bagi filem dari Filipina ‘Lakvayan’.

Tayangan perdana bagi filem itu - yang menggabungkan bakat pembuat filem terkemuka, Brillante Mendoza, Lav Diaz dan Kidlat Tahimik - akan melancarkan program ‘Cinema as a response to the nation’ di festival itu, yang membantu meraikan filem Filipina selama 100 tahun.

BIFF berlangsung sehingga 13 Oktober dan akan memaparkan 323 buah filem dari 79 buah negara, termasuk 115 yang mengadakan tayangan perdana dunia.

— AFP

Advertisement