Anda di sini

UPMKB tuan rumah Festival Tari Borneo 2018

Advertisement

TARIAN merupakan satu seni budaya yang telah berkembang dalam kalangan masyarakat sebagai satu seni persembahan.

Perkembangan ilmu dan teknologi turut mewarnai perkembangan seni tari dengan wujudnya tarian moden, rekreasi dan kontemporari yang berasaskan gerak tari tarian tradisional.

Kepulauan Borneo sendiri mempunyai kepelbagaian budaya dan pola tarinya tersendiri. Justeru, bagi memastikan seni budaya tarian ini tidak terus lupus dalam kalangan anak-anak muda, institut pengajian tinggi di Kepulauan Borneo yang merangkumi Malaysia, Brunei dan Indonesia telah mewujudkan Festival Tarian Borneo yang akan dianjurkan setiap dua tahun.  

Ia juga bertujuan menggalakkan mahasiswa bergiat dalam kegiatan yang sihat melalui aktiviti kebudayaan seterusnya menjadi contoh kepada golongan belia lain.

 Fakhzan Buang adalah Penyelaras Sektetariat FTB2018 (Edisi ke-VII). Beliau boleh dihubungi melalui fakhzan@upm.edu.my.
PENYELARAS: Fakhzan Buang adalah Penyelaras Sektetariat FTB2018 (Edisi ke-VII). Beliau boleh dihubungi melalui [email protected].

Festival Tari Borneo merupakan acara tahunan antarabangsa yang mempamerkan kepelbagaian budaya Borneo menerusi pertunjukan tarian tradisional kaum-kaum etnik di seluruh Borneo.

Festival ini meraikan kepelbagaian budaya dan tarian yang dipersembahkan oleh para pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo. Integrasi budaya ini dapat memberi peluang kepada masyarakat umum mengenali kekayaan budaya sejagat sekali gus memberi sokongan dalam memelihara warisan sejak berzaman.

Festival Tari Borneo mula diperkenalkan pada tahun 2006 dengan UiTM Sarawak diberi penghormatan sebagai tuan rumah untuk edisi yang pertama dan kedua.

Selepas itu, UiTM Kota Kinabalu, Sabah terpilih sebagai tuan rumah yang ketiga, Universitas Tanjung Pura, Kalimantan Barat, Indonesia dipertanggungjawabkan sebagai tuan rumah yang keempat.

Manakala UiTM Sarawak sekali lagi diberi penghormatan menjadi tuan rumah untuk edisi yang kelima.

Pada dua tahun lepas, Festival Tari Borneo telah diadakan di Universitas Mulawarman, Samarinda, Kalimantan Timur Indonesia selaku tuan rumah.

Bagi tahun 2018 pula, UPM Kampus Bintulu Sarawak telah diumumkan sebagai tuan rumah bagi Festival Tari Borneo 2018 (Edisi ke-VII).

Festival ini menyasarkan beberapa objektif utama penganjuran di mana ia dapat menyediakan platform untuk bertukar dan berkongsi idea untuk membangunkan dan memelihara seni untuk generasi akan datang.

Selain itu dapat meningkatkan usaha kerajaan untuk memelihara dan membangunkan warisan seni dan budaya negara, sekali gus menggalakkan kerjasama yang lebih baik antara universiti tempatan dan antarabangsa di Borneo.

Penganjuran festival ini juga dapat mempromosikan kepelbagaian budaya yang kaya di Sarawak, melatih peserta menjadi model yang baik kepada generasi muda, serta menggalakkan gaya hidup sihat melalui penyertaan aktif dalam aktiviti seni dan budaya.

Dalam jangka panjang, festival menyasarkan untuk mengukuh kerjasama akademik dan penyelidikan antara universiti-universiti di keperluan Borneo, membuka lebih peluang bertukar kepakaran dan perkhidmatan antara universiti-universiti ini.

Festival Tari Borneo ini diharapkan dapat mewujudkan hab pendidikan bertaraf antarabangsa di Borneo dan mewujudkan hubungan untuk mempromosikan kepelbagaian budaya.

Ia menjadi platform antarabangsa untuk penganjuran prospektif persidangan dan bengkel pada masa depan dalam meningkatkan reputasi Borneo sebagai destinasi ekopelancongan komersial dengan mempromosikan warisan budaya Borneo di peringkat antarabangsa.

Sebanyak 13 kumpulan dari universiti di seluruh Borneo akan mengambil bahagian dalam Festival Tari Borneo 2018, dan mereka adalah Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB), UiTM Kota Samarahan Sarawak, UiTM Kota Kinabalu Sabah, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Malaysia Sabah (Kampus Antarabangsa Labuan), Kolej SIDMA Sarawak, Kolej SIDMA Sabah dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Terdapat juga beberapa universiti dari Kalimantan, Indonesia iaitu Universitas Tanjungpura (UNTAN), Universitas Lambung Mangkurat, Universitas Palangkaraya, Universitas Mulawarman dan Universitas Borneo Tarakan (UBT) akan menyertai festival kali ini.

Para peserta dari institusi pengajian tinggi di seluruh Borneo akan berkumpul, bekerjasama dan tampil membuat persembahan dalam acara empat hari yang memberi mereka peluang untuk memupuk hubungan dengan rakan-rakan dari pelbagai universiti sekali gus memupuk integrasi dan perpaduan antarabangsa melalui acara kesenian dan kebudayaan

Festival Tari Borneo 2018 (Edisi ke-VII) yang akan dianjurkan oleh pihak Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak (UPMKB) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak, Majlis Seni Sarawak dan Pejabat Residen Bintulu akan diadakan pada 30 Oktober hingga 3 November di Dewan Sri Kenyalang UPMKB.

Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan festival ini. Terdapat pelbagai persembahan seni dan budaya akan disajikan sepanjang festival berlansung nanti.

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Bahagian Sektretariat FTB2018 di talian 086-8555213 atau dapatkan informasi terkini di laman rasmi Instagram @ftb.upmkb.

  • oleh
  • Advertisement