Anda di sini

‘Tunggu Aku Datang’ single terbaharu daripada Hazama

Advertisement

BUKAN lagi nama asing dalam industri muzik tempatan, pemilik nama Hazama Ahmad Azmi atau lebih dikenali sebagai Hazama merupakan salah seorang penyanyi lelaki terbaik di Malaysia pada hari ini.

Berbekalkan bakat yang dicungkil lewat program realiti Akademi Fantasia sekitar 12 tahun yang lalu, Hazama telah berjaya mengukir namanya sendiri dalam arena seni suara tempatan.

Dan setelah agak lama tidak merakamkan lagu, penyanyi bervokal unik itu kembali dengan sebuah karya yang pasti akan mencuri perhatian pencinta dunia muzik tanah air.

Kali ini Hazama muncul dengan sebuah lagu berjudul ‘Tunggu Aku Datang’ yang juga merupakan lagu tema untuk sebuah drama bersiri baru berjudul ‘Ammar dan Opie’ yang kini ditayangkan di TV3.

 

Lagu yang dicipta oleh penyanyi dan komposer popular, Tam Spider ini mendapat sentuhan Keon selaku penulis lirik dan mengetengahkan muzik berkonsep Pop Balada.

Video lirik dan muzik lagu ‘Tunggu Aku Datang’ ini juga boleh ditonton di saluran Youtube Rocketfuel Network.

Malah, lagu ini memang diciptakan khas untuk Hazama, bersesuaian dengan vokal dan juga imej yang dibawa oleh penyanyi tersebut.

Pihak Rocketfuel Entertainment yakin bahawa buah tangan terbaru Hazama ini mampu mengubati rindu para peminatnya yang sudah lama tidak disajikan dengan persembahan muzik yang hebat daripada penyanyi tersebut.

Lagu ‘Tunggu Aku Datang’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman di atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Advertisement