Anda di sini

Mencari kaedah terbaik selesai masalah dadah

Advertisement

PADA 15 Ogos lepas, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menerima ‘bos’ baharu. Pelantikan orang kuat Bukit Aman, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah sebagai Ketua Pengarah (KP) AADK bukan perkara luar biasa.

Sebelum ini, AADK juga pernah diketuai pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seperti bekas Ketua Polis Negara,  Tan Sri Bakri Omar (Allahrayham) dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Som (Allahyarham).

Sudah pasti harapan yang tinggi diletakkan pada bahu KP baharu AADK terutamanya dalam menangani isu penggunaan dadah di negara ini.

Sejak awal penubuhan, peranan AADK adalah sebagai peneraju dalam memerangi masalah dadah yang diisytiharkan sebagai musuh nombor satu negara.

Walaupun pelbagai usaha dilakukan AADK bagi memastikan isu dadah dibanteras habis-habisan namun masih belum menampakkan kejayaan.

Kebimbangan rakyat tentang isu dadah masih belum menemui titik penyelesaian apatah lagi dengan berlakunya kes-kes pembunuhan tragik berikutan pengambilan dadah terutamanya dadah sintetik seperti syabu, kebelakangan ini.

Pandangan yang sama turut dilontarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang melahirkan kebimbangan kerana usaha membendung masalah dadah di negara ini masih gagal walaupun peruntukan besar telah disalurkan.

Berucap pada suatu majlis Karnival Prihatin baru-baru ini, beliau berkata dadah menjadi toksik bukan sahaja kepada penagih tetapi juga anggota keluarga dan persekitaran.

Menurut statistik AADK, lebih 25,000 kes dilaporkan pada 2017 di mana 18,440 adalah kes baharu manakala 7,842 kes berulang.

Dr Wan Azizah turut berkongsi pengalaman ketika suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam penjara, di mana beliau mendapati ramai penghuni tirai besi itu terdiri daripada golongan yang terjebak dengan dadah.

Rata-rata penjara di Malaysia melebihi kapisiti hingga sesak dengan lebih separuh penghuninya adalah pesalah dadah.

Mereka dipenjarakan kerana memiliki dadah dan pada masa sama menggunakan dadah tersebut. Selain itu mereka juga melakukan jenayah seperti mencuri besi buruk, pecah rumah, dan meragut beg tangan untuk menampung belanja membeli dadah bagi mengatasi masalah gian dadah yang teruk.

Sebenarnya secara tidak sedar, masyarakat juga terlibat sedikit sebanyak menyebabkan mereka melakukan jenayah. Selepas dua tahun menjalani pemulihan di pusat serenti, stigma masyarakat terhadap mereka semakin menebal. Mereka sukar mendapat pekerjaan dan dipinggirkan oleh keluarga, justeru menyebabkan mereka kecewa dan jatuh semula ke kancah penagihan.

Ketiadaan kerja tetap pula menyebabkan mereka melakukan jenayah bagi menampung belanja membeli dadah dan mengelakkan gian yang amat menyakitkan.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Sains Ketagihan Universiti Malaya (UMCAS), Dr Rusdi Abd Rashid, ‘revolving door syndrome’ atau residivisme yang dialami penagih –  di mana penagih kembali ke pusat serenti dan penjara berkali-kali – boleh diatasi sekiranya kerajaan menukar strategi dan kaedah rawatan berteraskan perubatan dan bukannya pendekatan menghukum seperti sekarang.

Sebagai contoh, sekiranya penagih yang ditangkap ditemui memiliki sejumlah kecil dadah, mereka perlu diberi pilihan sama ada mahu menjalani rawatan di klinik atau hospital bukannya dikenakan hukuman penjara atau rawatan secara paksaan di pusat serenti.

Tambah beliau, golongan yang didapati positif menggunakan dadah pula, tidak harus dikenakan tindakan mahkamah sebaliknya dirujuk kepada jawatankuasa yang dilantik terdiri daripada doktor, peguam dan pegawai sosial.

Jawatankuasa berkenaan yang akan menilai sama ada individu yang dirujuk oleh polis itu adalah pengguna baharu yang masih di peringkat awal mencuba atau penagih yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.

Dr Rusdi menjelaskan bahawa model seperti itu, yang dipanggil “decriminalisation of drug use” atau pemurnian undang-undang berkaitan penggunaan dadah, telah dipraktikkan dengan jayanya di negara-negara maju dan terbukti dapat mengurangkan bilangan penagih yang dipenjarakan.

Beliau mengambil contoh negara Portugal dan Belanda yang menggunakan kaedah berkenaan dan berjaya mengurangkan jumlah banduan di penjara sehinggakan boleh mengimport banduan daripada negara jiran untuk memenuhi penjara mereka yang kosong.

Kaedah itu juga membantu penagih tampil dengan rela hati untuk mendapatkan bantuan perubatan disamping mengurangkan penagihan.

Kajian UMCAS mendapati hanya 25 peratus pengguna dadah yang betul-betul memerlukan rawatan intensif di hospital dan klinik manakala sebahagian besarnya adalah pengguna dadah yang peringkat awal mencuba (experimenting stage) dan menyalahgunakan dadah (abuse stage).

Kedua-dua golongan pengguna dadah itu perlu diberi kaunseling dan denda sama ada wang ringgit atau khidmat masyarakat.

Menurut Dr Rusdi ‘decriminalisation’ tidak sama dengan ‘legalisation of drug use’ di mana penjual dadah masih ditangkap dan dikenakan tindakan mahkamah termasuk hukuman gantung.

Apa yang unik dalam pemurnian undang-undang berkaitan penggunaan dadah adalah, mereka diberi peluang untuk menjalani rawatan di bawah fasiliti kesihatan dan dihindar daripada sistem keadilan jenayah atau ‘criminal justice system’ yang lebih menghukum dan menggelapkan masa depan seseorang akibat stigma masyarakat.

Tambah beliau, ia juga dapat menghalang mereka daripada menamatkan persekolahan, hilang kerja mahupun risiko terpengaruh dengan anasir negatif dalam penjara seperti jangkitan penyakit berjangkit seperti penyakit TB, HIV dan hepatitis kerana kesesakan dalam penjara.

Selain itu, rawatan dalam komuniti juga adalah kaedah terbaik yang boleh dipratikkan secara meluas di Malaysia. Melalui cara ini mereka yang terlibat dalam penagihan dadah boleh terus bekerja, menjaga anak isteri dan menjalani kehidupan lebih berkualiti.

“Mereka hanya perlu menjalani rawatan di fasiliti kerajaan mengikut jadual yang ditetapkan. Kaedah ini dapat menjaga maruah mereka, lebih beretika selain menjaga kerahsiaan mereka,” tegas beliau.

Sudah tiba masanya idea dan cadangan baharu seperti ini diberi perhatian serius oleh kerajaan setelah usaha sebelum ini dilihat kurang berjaya.

AADK tidak boleh lagi bergerak sendirian sebaliknya perlu melibatkan pelbagai pihak secara holistik dalam usaha mengatasi isu penggunaan dadah yang semakin serius dalam masyarakat. (Komentar ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak membayangkan pendirian BERNAMA dalam isu yang diperkatakan oleh penulis.) — Bernama

Advertisement