Anda di sini

Tahap keharmonian dan perpaduan rakyat masih baik

Advertisement
 Baharin (tiga kiri) beramah mesra bersama para peserta sebelum merasmikan pelepasan Kembara Perpaduan Sekretariat Rukun Negara (SRN) Negeri Selangor 2018 di Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama
BERAMAH MESRA: Baharin (tiga kiri) beramah mesra bersama para peserta sebelum merasmikan pelepasan Kembara Perpaduan Sekretariat Rukun Negara (SRN) Negeri Selangor 2018 di Shah Alam, semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Tahap keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini dirumuskan sebagai masih baik berdasarkan Indeks Ketegangan Masyarakat (IKM) yang hanya merekodkan empat konflik setakat suku kedua tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Datuk Baharin Idris berkata pemantauan pihaknya juga mendapati trend konflik berkenaan berlaku agak tinggi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei lepas.

“Trend IKM agak unik ketika negara menghadapi PRU14, indeksnya sedikit tinggi kerana berlaku pelbagai isu menyebabkan pergaduhan dan ketegangan yang sedikit sebanyak menjejaskan suasana perpaduan.

“Bagaimanapun, ia (konflik) semakin hari semakin berkurangan malah semasa peralihan kuasa kepada kerajaan baharu selepas PRU14 juga tidak menjejaskan perpaduan dan keharmonian rakyat, membuktikan masyarakat semakin matang,” katanya kepada pemberita selepas acara pelepasan Kembara Perpaduan Sekretariat Rukun Negara (SRN), di sini semalam.

Katanya walaupun kadar IKM empat konflik itu masih rendah berbanding jumlah 25 konflik untuk mencapai paras berwaspada, semua pihak harus sentiasa menjaga perilaku supaya tidak mencetuskan sebarang provokasi.

Merujuk proses kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson yang sedang berlangsung sehingga hari pengundian pada 13 Okt ini, Baharin menasihati semua pihak terutama penyokong calon supaya tidak menimbulkan sebarang elemen yang boleh menggugat perpaduan masyarakat.

Mengulas mengenai kembara perpaduan SRN anjuran JPNIN Selangor, beliau berkata program yang julung kali diadakan itu bertujuan memberi penghayatan kepada peserta terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tentang gerak kerja pemimpin komuniti untuk mengurus dan mengukuhkan perpaduan rakyat akar umbi.

“Mahasiswa merupakan aset negara dan disebabkan itu JPNIN memberi pendedahan secara praktikal, ini supaya mereka dapat melihat sendiri gerak kerja komuniti berbanding program seminar atau kursus yang pernah kita anjur sebelum ini,” katanya.

Kembara empat hari sehingga Khamis ini disertai 30 anggota SRN yang juga wakil pemimpin pelajar daripada tujuh IPT di Selangor, akan menuju ke Perlis, Kedah dan Perak untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat antaranya Orang Asli bagi menghayati prinsip Rukun Negara dan seterusnya memperkukuh jati diri mereka. — Bernama

Advertisement