Anda di sini

Pengajaran BM di SJK Cina, Tamil perlu santai, interaktif

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Proses pengajaran dan pembelajaran subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC & SJKT) perlu bersifat santai dan interaktif dalam memastikan murid berupaya bertutur bahasa kebangsaan, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik (gambar).

Beliau berkata melalui kaedah itu, proses pembelajaran akan lebih menyeronokkan sekali gus membolehkan pelajar menghayati Bahasa Melayu.

“Penghayatan terhadap bahasa ini perlu dilakukan dengan menjiwai dengan kasih sayang dan hormat menghormati dan bukan sekadar diukur dengan peperiksaan. Paling penting proses pengajaran itu perlu menggembirakan dan bukan membebankan,” katanya selepas merasmikan Forum Kebangsaan Peningkatan Standard Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di sini, hari ini.

Maszlee turut mengambil contoh penggunaan filem-filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dan animasi Upin dan Ipin dan lagu-lagu kebangsaan dalam proses pengajaran untuk menarik minat pelajar dan membolehkan mereka memahami Bahasa Melayu dengan lebih mudah. 

Selain itu, beliau turut menggalakkan program sekolah kembar melibatkan sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama dan sekolah swasta dalam mengeratkan persefaham antara pelbagai bangsa di negara ini. 

Maszlee berkata program pertukaran mengenai aspek budaya dan pendidikan itu dapat membuka minda murid untuk memahami dan menghargai keunikan kaum-kaum di Malaysia.

“Saya percaya program yang melibatkan main bola bersama, makan bersama, pertukaran guru dan murid akan membuka horizon dan meruntuhkan tembok prejudis sekali gus membina jambatan perpaduan antara rakyat. 

“Usaha ini dah bermula di beberapa sekolah swasta tetapi di peringkat kebangsaan belum bermula. Saya tidak mahu paksa, jadi saya menyeru sekolah bangkit adakan program bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata guru-guru bakal menerima berita gembira pada awal tahun depan berhubung beban kerja guru yang ditanggung selama ini.

Maszlee berkata pegawai dan penyelidik kementerian sedang merangka pelan strategik berhubung perkara itu yang dijangka selesai pada Disember ini.

“Saya mengimpikan supaya kita mengembalikan zaman kegemilangan guru. Apabila ada guru yang menjadi ‘Hero Teacher’ kerana mereka cintakan kerjaya mereka, mereka menyayangi kita seperti anak mereka sendiri dan apabila mereka mengajar kita, mereka benar-benar mahukan kita belajar.  Mereka benar-benar mahukan kita berjaya.

“Saya fikir perkara berkenaan telah mula hilang daripada guru-guru kita sekarang kerana guru-guru terlalu dibebani oleh kerja kurikulum. Saya perlu ubah ini. Kita akan kembali kepada zaman kegemilangan guru-guru dan ini akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.

-- Bernama 
 

Advertisement