Anda di sini

Malaysia sasar 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020

Advertisement
 Dr Wan Azizah, Hannah (kiri) bersalaman dengan para kaunselor semasa tiba pada majlis Sambutan Hari Kaunseling Kebangsaan 2018 bertemakan ‘Perkhidmatan Kaunseling Profesional Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat’ di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
SEDIA BERKHIDMAT: Dr Wan Azizah, Hannah (kiri) bersalaman dengan para kaunselor semasa tiba pada majlis Sambutan Hari Kaunseling Kebangsaan 2018 bertemakan ‘Perkhidmatan Kaunseling Profesional Pemangkin Kesejahteraan Masyarakat’ di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan menyasarkan Malaysia mempunyai 11,000 kaunselor profesional menjelang 2020, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata ini kerana peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling kini dilihat sebagai satu keperluan yang penting terutamanya dalam situasi masyarakat yang berhadapan dengan pelbagai tekanan kehidupan.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata sehingga 31 Ogos lepas, terdapat 8,039 kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor iaitu seorang kaunselor bagi setiap 4,030 penduduk.

“Nisbah ini masih terlalu besar untuk mendepani masalah sosial yang semakin kompleks pada hari ini dengan berkesan. Jadi, sasaran 11,000 kaunselor menjelang 2020 akan membolehkan satu kaunselor kepada 2,945 orang penduduk.

“Oleh itu, saya menyeru agar setiap kaunselor berdaftar dengan Lembaga Kaunselor dan meningkatkan kemahiran melalui program pembelajaran profesional  berterusan agar lebih ramai rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling ini,” katanya selepas melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2018, di sini semalam.            

Memetik Kajian Kesihatan dan Morbitidi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan, Dr Wan Azizah berkata prevalens masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat Malaysia berumur 16 tahun  ke atas adalah 29.2 peratus atau kira-kira 4.2 juta orang.

“Ini bermaksud satu dalam tiga penduduk Malaysia mengalami isu yang berkait dengan masalah mental.

“Kajian yang sama dilaksanakan pada tahun lalu menyasarkan skop kesihatan remaja menunjukkan bahawa perasaan cemas  sebanyak 39.7 peratus diikuti depresi (18.3 peratus) dan stres (9.6 peratus) adalah antara tiga penyakit mental utama dalam kalangan remaja di sekolah,” kata beliau.

Di samping itu, Dr Wan Azizah berkata Lembaga Kaunselor juga membangunkan satu Garis Panduan Perkhidmatan Kaunseling Keluarga dan Perkahwinan sebagai rujukan untuk mengendalikan isu dalam keluarga seperti penderaan, keganasan rumah tangga, penceraian, pengabaian dan sebagainya.

“Saya yakin dengan adanya garis panduan sebegini akan membantu kaunselor berdaftar memberikan perkhidmatan kaunseling yang terbaik untuk masyarakat.

Ini penting agar permasalahan keluarga dapat ditangani seawal krisis di peringkat akar umbi,” katanya.

Sementara itu, Dr Wan Azizah berkata Lembaga Kaunselor telah mewujudkan Tabung Ihsan Waris Kaunselor Berdaftar sebagai menghargai kaunselor berdaftar yang telah meninggal dunia dengan menjaga kebajikan warisnya.

Sebagai permulaan, Lembaga kaunselor akan menyumbang RM10,000 kepada tabung ini dan setiap waris akan menerima bantuan sebanyak RM1,500. — Bernama

Advertisement