Anda di sini

Kontraktor dakwa kerajaan tawar projek secara tidak telus

Advertisement

KANGAR: Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Cawangan Perlis (PKMMPs) mendakwa kerajaan negeri menawarkan projek secara tidak telus melalui cabutan tertutup yang dibuat melibatkan kontraktor tertentu sahaja.

Timbalan Yang Dipertua PKMMPs, Zainol Hassan berkata cabutan undi untuk mendapatkan projek bagi kontraktor gred G1 sepatutnya dibuat secara terbuka membabitkan semua pihak yang berminat.

“Apa yang berlaku ialah hanya kontraktor tertentu sahaja yang dipanggil untuk membuat cabutan undi dan lebih tidak adil setiap kontraktor yang dipanggil itu dapat projek.

“Sepatutnya jika ada projek, undian terbuka harus dibuat walaupun projek cuma ada 40 tapi kontraktor beratus orang,” katanya kepada pemberita semasa mengadakan bantahan aman di pekarangan pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri di sini, semalam.

Beliau mendakwa proses undi tertutup yang dijadual diadakan di pejabat JKR hari ini, dibatalkan ekoran bantahan itu dan pihaknya juga difahamkan bahawa hal tersebut sudah mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Difahamkan bagi projek melibatkan kontraktor gred G1, tender terbuka tidak diperlukan sebaliknya hanya cabutan undi terbuka perlu dibuat dan kos setiap projek tidak melebihi RM200,000.

Sementara itu, Pengarah JKR negeri, Rahmat Abd Rahman ketika dihubungi Bernama berkata, beliau maklum mengenai proses undian tersebut namun tidak dapat mengulas lanjut kerana berada di luar kawasan. — Bernama

Advertisement