Anda di sini

Ibu bapa diseru daftar anak istimewa di PDK Bekenu

Advertisement

IBU bapa yang mempunyai anak-anak istimewa khususnya di kawasan Bekenu diminta bagi mendaftarkan anak mereka untuk mengikuti program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang telah dibuka di Jalan Masjid, Kampung Dagang Bekenu.

NORLIDA
NORLIDA

Penyelia PDK Bekenu Norlida Batiil berkata, terdapat masyarakat di Bekenu yang masih tidak mengetahui kewujudan PDK terbabit dalam usaha membantu anak-anak istimewa dan kanak-kanak dalam kategori orang kurang upaya (OKU) mendapat penjagaan serta latihan pembangunan yang bersesuaian.

“Kita masih mengalu-alukan ibu bapa yang mempunyai anak-anak istimewa di sekitar Bekenu untuk menghantar anak-anak mereka untuk mendapatkan latihan pembangunan yang bersesuaian bagi membantu perkembangan mereka.

“Setakat ini, hanya beberapa yang mendaftar memandangkan PDK baharu dibuka dan masih ada yang belum mengetahui kewujudannya,” jelas Norlida ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurut Norlida, program di PDK ditumpu kepada golongan OKU yang diberi latihan asas dari segi pergerakan, pendidikan khas dan kemahiran dalam aktiviti harian.

Program dibuka kepada mereka yang mempunyai kad OKU dari Jabatan Kebajikan Masyarakat berumur tiga tahun hingga 45 tahun dengan pelbagai masalah keupayaan.

Yuran bulanan adalah RM10 bagi setiap anak yang didaftarkan dan PDK Bekenu dibuka pada setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Mereka yang mempunyai pertanyaan berhubung PDK Bekenu, boleh menghubungi Norlida di talian 011-3318 1783 atau Pengerusi PDK Bekenu Sim Guek Lan (019-826 5587).

Advertisement