Anda di sini

Tiga didakwa bunuh wartawan Slovakia

Advertisement
 Salah seorang suspek pembunuhan Kuciak menutup mukanya dengan kertas ketika pihak polis menyiasat rumahnya di Kolarovo pada Khamis lepas. — Gambar AFP
DALAM SIASATAN: Salah seorang suspek pembunuhan Kuciak menutup mukanya dengan kertas ketika pihak polis menyiasat rumahnya di Kolarovo pada Khamis lepas. — Gambar AFP

BRATISLAVA: Kelmarin pihak polis di Slovakia telah mendakwa tiga orang dengan pembunuhan ‘dirancangkan’ terhadap wartawan Jan Kuciak, yang telah menyiasat tuduhan mengenai rasuah peringkat tinggi melibatkan ahli politik, menurut pejabat pendakwa raya umum.

“Dalam kes pembunuhan wartawan siasatan Jan Kuciak dan tunangnya Martina Kusnirova, tiga orang telah didakwa pada hari ini dengan pembunuhan yang dirancangkan dan jenayah lain,” jurucakap Andrea Predajnova memberitahu AFP.

Kuciak telah menyiasat hubungan di antara pihak jenayah terancang Itali dan ahli politik Slovak ketika beliau dan Kusnirova telah dibunuh di rumah mereka pada Februari lepas.

Pembunuhan tersebut telah mencetuskan kebimbangan mengenai kebebasan media dan kegiatan rasuah di negara anggota EU dengan seramai 5.4 juta penduduk dan mencetuskan bantahan yang berkesudahan dengan peletakan jawatan Perdana Menteri Robert Fico pada Mac lepas.

Lapan suspek telah ditahan pada Khamis lepas.

“Selepas soal siasat, lima orang telah dibebaskan dan tiga orang lagi telah dituduh bagi jenayah serius terutamanya bagi pembunuhan, dan jenayah-jenayah lain,” menurut Predajnova.

Langkah seterusnya, menurut beliau, adalah bagi pihak penyiasat untuk mendapatkan waran tangkap daripada pihak pendakwaan.

Pengganti dan sekutu rapat Fico, Peter Pellegrini telah menulis di dalam Facebook pada Khamis lepas beliau berasa lega mendengar tentang perkembangan bagi ‘pembunuhan dua belia yang tidak bersalah’. — AFP

Akhbar Respekt yang berpusat di Prague, memetik seorang sumber keselamatan, telah melaporkan bahawa gambar-gambar dari sebuah satelit AS yang berada di kawasan jenayah pada masa pembunuhan telah membantu pihak polis Slovak menggabungkan maklumat mengenai pergerakan kereta dan orang. — AFP

Advertisement