Anda di sini

Masalah lalu lintas Pekan Donggonggon akan diselesaikan

Advertisement
DARELL (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.
DARELL (tengah) bersama tetamu kehormat lain merakamkan gambar kenangan.

PENAMPANG: Menghuraikan kesesakan trafik di Pekan Donggongon menjadi antara agenda Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking dalam usaha menambah baik kualiti kehidupan penduduk tempatan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berharap infrastruktur jaringan jalan raya Kota Kinabalu-Papar yang melalui pekan itu akan dinaiktaraf dengan mengambil kira tahap trafik di pekan terbabit.

"Beberapa perubahan pada sistem jaringan jalan raya di sini perlu dinilai semula dan diperbaiki supaya kesesakan yang berlaku dan menghalang kelancaran pengguna jalanraya dapat diatasi," katanya ketika mendapat taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah di Majlis Daerah Penampang, pada Sabtu.

Beliau berkata, antara kawasan yang diberi perhatian adalah Bulatan Sigah, Bulatan Donggongon dan Simpang Jalan Tapikung.

Dalam taklimat itu, pihak perunding membentangkan cadangan penambahbaikan termasuk pembinaan persimpangan dengan lampu isyarat dan jalan bertingkat di jajaran itu. 

Darell turut mahu sistem pengangkutan awam di pekan itu ditambah baik.

"Saya akan membawa beberapa cadangan untuk dipertimbangkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke," katanya lagi.

Katanya, gerak kerja ini perlu dilakukan segera untuk mengangkat status Penampang kepada sebuah bandar.

Hadir sama Pengarah JKR Sabah Ir. Richard Jomiji dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayan Jannie Lasimbang dan Pegawai Daerah Penampang Robert Stidi.

  • oleh
  • Advertisement