Anda di sini

Gempa bumi amat dahsyat melanda tengah Indonesia

Advertisement
 Penduduk tempatan membuat laluan di sepanjang jalan yang penuh dengan serpihan setelah gempa bumi dan tsunami melanda Palu di Pulau Sulawesi, semalam. — Gambar AFP
BENCANA ALAM: Penduduk tempatan membuat laluan di sepanjang jalan yang penuh dengan serpihan setelah gempa bumi dan tsunami melanda Palu di Pulau Sulawesi, semalam. — Gambar AFP

PALU: Beberapa orang terbunuh semalam selepas satu gempa bumi yang sangat kuat dan tsunami menyerang tengah Indonesia, seorang jurugambar AFP di tempat kejadian berkata, ketika anggota penyelamat bergegas untuk sampai ke wilayah tersebut.

Gambar-gambar dari Palu, kediaman bagi kira-kira 350,000 penduduk di pantai pulau Sulawesi, menunjukkan mayat-mayat yang separuh ditutupi di atas tanah berhampiran pantai, pagi selepas ombak tsunami setinggi 1.5 meter melanda bandar tersebut.

Tsunami yang berpunca dari satu gempa bumi kuat yang telah memusnahkan beberapa bangunan dan menyebabkan penduduk tempatan melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi ketika tembok air yang tinggi telah melanda Palu.

Rakaman video dramatik yang dirakamkan dari tingkat atas sebuah tempat letak kereta di Palu, hampir 80 kilometer dari pusat gempa bumi, menunjukkan gelombang air yang telah memusnahkan beberapa bangunan dan menenggelamkan sebuah masjid besar.

Gegaran cetek sekuat 7.5 magnitud adalah lebih kuat berbanding dengan satu siri gempa bumi yang telah membunuh ratusan orang di pulau Lombok di Indonesia pada Julai dan Ogos lepas.

Terdapat tiada angka kematian rasmi, namun ketua bagi agensi mencari dan menyelamat negara Muhammad Syaugi memberitahu AFP bahawa kakitangan tempatan telah menemui satu angka kematian yang besar.

“Banyak mayat, namun jumlah sebenar kami masih belum ketahui. Kami telah menemui setakat jam 2:00 pagi banyak mayat di Palu,” menurut beliau.

Tiga puluh yang meninggal dunia dan beberapa orang yang tercedera telah dibawa ke sebuah hospital berhampiran, pengarah fasiliti memberitahu media tempatan.

“Terdapat 30 kematian di hospital kami. Dan beberapa kes di mana kami perlu untuk membedah atau memerlukan pakar bagi menangani trauma kepala,” Komang Adi Sujendra memberitahu Metro TV.

Penduduk yang tinggal beratus-ratus kilometer dari pusat kejadian melaporkan merasai gegaran yang sangat kuat, yang muncul beberapa jam selepas satu gegaran lebih kecil mengorbankan sekurang-kurangnya seorang di bahagian yang sama di negara ini.

Gempa bumi itu berlaku hanya di luar Sulawesi tengah pada satu kedalaman 10 kilometer hanya sebelum jam 11.00 pagi waktu tempatan, menurut pihak US Geological Survey. Gempa bumi yang cetek boleh menjadi lebih berbahaya.

“Terdapat laporan bahawa banyak bangunan yang roboh ketika gempa bumi,” jurucakap agensi bencana negara Sutopo Purwo Nugroho berkata.

“Penduduk berasa panik dan bertempiaran lari meninggalkan rumah mereka.”

Gambar yang dibekalkan oleh agensi menunjukkan sebuah pusat beli-belah yang mengalami kerosakan teruk di Palu di mana sekurang-kurangnya satu tingkat telah runtuh  ke atas tingkat bawahnya, sementara gambar lain menunjukkan kerosakan teruk terhadap beberapa bangunan dan retakan besar di atas laluan.

Pasukan pencari dan penyelamat telah dikerahkan ke kawasan yang teruk dilanda,  menurut  Nugroho.

Lapangan terbang utama di Palu telah ditutup selepas tsunami melanda dan dijangka akan terus ditutup bagi sekurang-kurangnya 24 jam, menyukarkan sebarang usaha bantuan bencana.

Gegaran kelmarin adalah tertumpu 78 kilometer di utara Palu, bandar utama bagi wilayah Sulawesi Tengah, namun telah dirasai hingga ke selatan pulau di bandar paling besarnya Makassar dan terhadap pulau berhampiran Kalimantan, bahagian Indonesia bagi kepulauan Borneo.

Gegaran awal, yang telah diikuti dengan satu siri gegaran susulan yang sangat kuat, berlaku ketika masuk waktu Maghrib di negara majoriti Islam terbesar di dunia pada hari paling suci dalam seminggu, ketika masjid dalam keadaan sangat sibuk.

Gempa bumi dengan magnitud yang sama boleh menyebabkan kerosakan besar terhadap bangunan yang usang atau direka dengan teruk, termasuk merobohkan bahagian cerobong asap, ruangan dan tembok, menurut USGS.

Indonesia adalah salah satu dari negara yang paling terdedah kepada bencana di bumi ini.

Ia terletak di atas “Lingkaran Api” Pasifik, di mana plet tektonik berlanggar dan kebanyakan dari letusan gunung berapi dan gempa bumi di dunia ini berlaku.

Pada awal tahun ini, satu siri gempa bumi yang kuat melanda Lombok, mengorbankan lebih dari 550 orang di pulau percutian dan negara jiran Sumbawa.

Kira-kira 1,500 orang tercedera dan 400,000 penduduk telah kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah.

Indonesia telah dilanda dengan satu rangkaian gempa bumi teruk lain termasuk satu gempa bumi sekuat 9.1 magnitud yang melanda luar pantai Sumatra pada 2004.

Gempa bumi itu telah menyebabkan satu tsunami yang mengorbankan 220,000 orang di seluruh wilayah, termasuk 168,000 di Indonesia. — AFP

Advertisement