Anda di sini

Gegar Vaganza 5 ‘Masih Membara Rentaknya’ malam ini di Astro

Advertisement
 Barisan peserta GV5 bergambar bersama juri, pengacara dan juga para penaja. — Gambar Astro
MALAM INI: Barisan peserta GV5 bergambar bersama juri, pengacara dan juga para penaja. — Gambar Astro

DENGAN tagline ‘Masih Membara Rentaknya’, Gegar Vaganza musim kelima atau GV5 akan kembali mengisi malam Ahad penonton bermula malam ini secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), jam 9 malam.

Musim baharu ini menyuntik nafas segar kepada format yang sedia ada apabila buat julung kalinya turut membuka penyertaan kepada peserta duo dan berkumpulan sebagai kelainan.

Seramai 12 peserta yang terdiri daripada tujuh peserta solo, dua peserta berkumpulan dan seorang peserta duo yang bakal berentap untuk merebut kejuaraan musim ini.

Mereka adalah bekas vokalis kumpulan Slam, Zamani; ratu dangdut Malaysia, Amelina; Noryn Aziz; Dia Fadila; Hetty Sarlene; Maya Matahari; Farawahida; Safura Yaacob; dan Shafie Rio serta dua kumpulan vokal, Forteen dan Elite.

Duo yang popular dengan lagu ‘Hati Terluka’ Billy Zulkarnain turut menyertai barisan peserta pada musim kali ini.

Konsert mingguan GV5 akan bersiaran selama lapan minggu di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap hari Ahad, jam 9 malam.

Program ini juga turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro Go, Njoi Now dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persediaan dan trivia para peserta dapat ditonton melalui liputan Kapsul Gegar Vaganza setiap hari Rabu hingga Jumaat, jam 10.55 malam

Untuk pengisian di platform digital, program ‘Live Plus Gegar Vaganza’ akan disiarkan secara serentak di www.gegarvaganza.com.my ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘GV5’.

GV5 masih mengekalkan Jihan Muse dan Nabil Ahamd sebagai hos manakala pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS dan Datuk Khadijah Ibrahim akan duduk di kerusi juri tetap.

Juara Gegar Vaganza musim kelima bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara dan RM30,000 tempat ketiga.

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

GV5 juga masih mengekalkan format asal penjurian yang mana nasib para peserta akan diadili sepenuhnya oleh pihak juri yang telah dipertanggungjawabkan untuk menilai persembahan para peserta berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan.

Peserta yang mendapat markah paling rendah pada setiap minggu akan disingkirkan.

Untuk rekod, musim pertama Gegar Vaganza dimenangi oleh Ayai (Ilusi), Siti Nordiana pada musim kedua, Azharina (GV3) dan Aishah (GV4).

Penerbitan GV5 turut disokong D’herbs yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Cuckoo dan Adabi selaku Penaja Bersama.

Aplikasi Astro Go dan portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital manakala SINAR dan Raku pula sebagai Rakan Radio Rasmi dan Rakan Radio Digital selain Astro Circle selaku Rakan Gegar Vaganza.

Maklumat dan ikuti info terkini ‘GV5’ di laman web www.gempak.com.    

Advertisement