Anda di sini

Kerja baiki sistem penyaman udara Perpustakaan Sandakan siap bulan depan

Advertisement
  Stephen Wong Tien Fatt (kanan) diberikan penerangan oleh Ketua Perpustakaan Wilayah Sandakan Cecilia Chai Yee Jet (dua kiri) ketika meninjau kerja pembaikan pendingin hawa Perpustakaan Sandakan, semalam. — Gambar Bernama
LAWAT: Stephen Wong Tien Fatt (kanan) diberikan penerangan oleh Ketua Perpustakaan Wilayah Sandakan Cecilia Chai Yee Jet (dua kiri) ketika meninjau kerja pembaikan pendingin hawa Perpustakaan Sandakan, semalam. — Gambar Bernama

SANDAKAN: Kerja pembaikan kerosakan sistem penyaman udara Perpustakaan Sandakan yang tidak dapat digunakan sejak dua tahun lepas akan siap pada bulan hadapan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri Stephen Wong Tien Fatt berkata menerusi lawatan ke Perpustakaan Sandakan semalam, pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan memaklumkan kerja pembaikan kerosakan sistem penyaman udara itu telah dimulakan sejak dua minggu lepas.

Kerja pembaikan itu yang dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik akan siap pada hujung bulan depan, kata Wong yang juga Ahli Parlimen Sandakan ketika ditemui pemberita pada lawatan itu.

Lawatan itu susulan arahan beliau ketika melawat Perpustakaan Sandakan pada Jun lepas yang mahu kerja pembaikan kerosakan sistem penyaman udara itu disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Difahamkan, peruntukan kerajaan negeri diperoleh JKR untuk kerja pembaikan kerosakan sistem penyaman udara Perpustakaan Sandakan ini berjumlah RM380,000.

Menurut Wong, beliau memberi perhatian pembaikan kerosakan sistem penyaman udara Perpustakaan Sandakan bagi memastikan masyarakat di daerah ini khususnya golongan pelajar dapat menggunakan kemudahan disediakan kerajaan dengan selesa.

“Biarpun Perpustakaan Sandakan di bawah Kementerian Pelajaran dan Inovasi negeri dan bukan di bawah kementerian saya tetapi sebagai Ahli Parlimen Sandakan menjadi komitmen untuk saya bagi memastikan kemudahan untuk masyarakat dalam keadaan baik,” katanya.

Perpustakaan Sandakan beroperasi sejak April 1993 di bangunan terletak di Jalan Leila dengan mempunyai 480 tempat duduk, 209,910 buku iaitu 37 peratus buku bahasa Inggeris, 38 peratus (bahasa Cina) dan selebihnya buku bahasa Malaysia.

Pada tahun lepas seramai 133,259 orang mengunjungi Perpustakaan Sandakan, 149,000 pinjaman buku dan keahlian sebanyak 14,035 orang. — Bernama

Advertisement