Anda di sini

12 hadapi perbicaraan berhubung kebakaran belantara Portugal

Advertisement
 Foto fail yang diambil pada 18 Jun 2017 ini menunjukkan kereta terbakar di sebatang jalan selepas kebakaran belantara berlaku di Figueiro dos Vinhos, Portugal. — Gambar AFP
HANGUS: Foto fail yang diambil pada 18 Jun 2017 ini menunjukkan kereta terbakar di sebatang jalan selepas kebakaran belantara berlaku di Figueiro dos Vinhos, Portugal. — Gambar AFP

LISBON: Seramai 12 orang termasuk tiga komander agensi perlindungan awam Portugal akan menghadapi perbicaraan berhubung kebakaran belantara terburuk dalam sejarah negara tersebut selepas ia meragut 64 nyawa pada Jun 2017, kata pendakwa raya kelmarin.

Tertuduh,yang menghadapi tuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian, juga termasuk tiga pegawai tempatan dan tiga pekerja sebuah syarikat yang bertanggungjawab menyelenggara sebatang jalan di mana kira-kira 50 orang maut dalam kebakaran di wilayah tengah Leiria, kata pejabat pendakwa raya tempatan.

“Bagi saya, ini adalah kali pertama bahawa badan-badan awam disasari oleh tuduhan seumpama ini,” kata Domingos Xavier Viegas, penyelaras sebuah inkuiri yang ditauliahkan oleh parlimen, kepada AFP.

“Saya berpendapat ia adalah penting untuk menentukan tanggungjawab. Kes ini harus dijadikan contoh dan titik

Kebakaran berkenaan yang membara selama lima hari, meletus pada kemuncak gelombang bahang musim panas. Ramai mangsa mati selepas mereka terperangkap di dalam kereta mereka ketika cuba melarikan diri daripada api.

Ribut kuat meniup api, dan memusnahkan kira-kira 460 kilometer persegi kawasan lereng bukit yang diliputi pokok pain dan pokok kayu putih.

Menurut media tempatan, siasatan pendakwa raya umumnya mencerminkan penemuan satu inkuiri sebelum ini oleh sebuah suruhanjaya khas parlimen, yang menjumpai kegagalan yang serius dalam cara pegawai menangani kebakaran itu.

Laporan parlimen menyebut gelombang elektrik daripada rangkaian saluran tenaga telah menyebabkan kebakaran itu.

Dua pegawai agensi perlindungan awam dan komander satu rejimen bomba sukarela dituduh oleh pejabat pendakwa raya tidak memanggil pengebom air dengan cukup cepat untuk cuba me-ngawal kebakaran.

Mereka juga dituduh tidak meminta ramalan keadaan cuaca terkini yang secara teori dapat membantu pegawai meramal laluan api.

Seorang datuk bandar, seorang bekas datuk bandar dan seorang timbalan datuk bandar turut berdepan de-ngan tuduhan gagal melaksanakan langkah pencegahan kebakaran, khususnya pembersihan hutan, yang dapat membantu memperlahankan penularan api.

Beberapa bulan selepas bencana itu, siri kebakaran belantara berdarah baharu berlaku di bahagian tengah dan utara negara pada Oktober tahun lepas, dan membunuh 45 orang lagi.

Menteri Dalam Negeri Constanca Urbano de Sousa meletak jawatan pada bulan itu di tengah-tengah kritikan berhubung cara kerajaan Sosialis menangani kebakaran itu.

“Keadaan tidak boleh kekal seperti dahulu,” kata Perdana Menteri Antonio Costa ketika itu.

Sejak itu kerajaan telah melaksanakan siri langkah keselamatan untuk mencegah tragedi seterusnya dan melancarkan satu projek penanaman semula hutan yang bercita-cita tinggi.

Langkah itu termasuk menambah baik penyelarasan antara tentera dengan anggota bomba dalam penggunaan pengebom air, menanam talian komunikasi untuk me-mastikan ia tidak diputuskan oleh kebakaran dan menambah pembiayaan bagi anggota bomba profesional – sekarang kebanyakan mereka adalah sukarelawan.

Jumlah kebakaran di Portugal sudah menurun dengan signifikan pada musim panas ini, dengan kawasan terbakar yang turun sebanyak 60 peratus berbanding purata dalam tempoh 10 tahun lepas, menurut Institut Pemuliharaan Alam Semula Jadi dan Hutan. — AFP

Advertisement