Anda di sini

Sabah kaji pendaftaran lewat sijil lahir kanak-kanak

Advertisement
SHAFIE mendengar dan meneliti aduan seorang penduduk Keningau sempena program Hari Bertemu Ketua Menteri di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.
SHAFIE mendengar dan meneliti aduan seorang penduduk Keningau sempena program Hari Bertemu Ketua Menteri di Dewan Masyarakat Keningau, hari ini.

KENINGAU: Kerajaan negeri Sabah akan mengkaji kes pendaftaran lewat bagi mendapatkan sijil kelahiran kanak-kanak daripada perkahwinan campur, apabila ibu atau bapanya adalah rakyat Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata satu sistem diperlukan untuk bukan hanya menyelesaikan masalah itu, tetapi juga memastikan kanak-kanak terbabit tidak ketinggalan daripada mengikuti persekolahan di negara ini.

“Kanak-kanak tidak boleh ke sekolah tanpa dokumen pengenalan diri yang sewajarnya. Kami mengambil berat tentang kesejahteraan mereka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas program Sehari Bersama  Ketua Menteri di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata terdapat juga keperluan untuk memperkemaskan peraturan yang mana ibu atau bapa kanak-kanak itu yang merupakan rakyat tempatan, boleh mendaftarkan kelahiran anak mereka.

“Kita mesti ada satu sistem, sebagai contoh, jika hanya ibu atau bapa adalah warga tempatan (manakala ibu atau bapa warga asing yang tidak hadir dalam keluarga), kita mesti mempertimbangkannya (ibu atau bapa rakyat tempatan untuk mendaftarkan kelahiran anak mereka).
 
“Bagaimanapun, di bawah undang-undang, hanya isteri yang diberi pertimbangan. Jika suami rakyat tempatan dan isterinya pula  tiada di sisi, maka mereka tidak boleh melakukannya (mendaftarkan kelahiran anak),” katanya.

Mengenai permohonan Pegawai Daerah Keningau Yusof Osman berhubung penubuhan sebuah pusat  kawalan keselamatan di daerah itu, Mohd Shafie berkata perkara itu akan dibincangkan dalam
Jawatankuasa Keselamatan Negeri, yang dipengerusikannya.

Terdahulu, Yusof berkata Keningau terdedah kepada kemasukan pendatang asing tanpa izin berikutan daerah itu berkongsi sempadan dengan Kalimantan, Indonesia.

Sementara itu, Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum berkata hampir 40,000 kes pendaftaran lewat di Sabah telahpun selesai sejak  2007.

Beliau menarik perhatian pencapaian itu dilakar menerusi penubuhan mahkamah bergerak yang dilancarkan pada Mac 2007.

Ketika ditemui pada program itu, yang turut disertai mahkamah bergerak,  Malanjum berkata usaha akan diteruskan untuk membantu penduduk dalam urusan berkaitan pendaftaran lewat, terutamanya di kawasan luar bandar, oleh sebab mahkamah prihatin dengan kesejahteraan penduduk tempatan tanpa dokumen yang sewajarnya.

“Jika kami tidak mengadakan program ini (mahkamah bergerak), anak-anak mereka (rakyat Malaysia) akan menjadi kanak-kanak tanpa negara.

“… dan ini amat mendukacitakan sebab mereka adalah rakyat Malaysia dan jika mereka pergi ke hospital, mereka perlu membayar seolah-olah mereka juga rakyat asing,” katanya.-Bernama.

Advertisement