Anda di sini

Kerajaan akan tingkat pengeluaran makanan domestik

Advertisement
DAUD merakamkan foto bersama peserta-peserta yang hadir, termasuk pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
DAUD merakamkan foto bersama peserta-peserta yang hadir, termasuk pegawai dan kakitangan jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

TAWAU: Kerajaan Negeri mahu meningkatkan pengeluaran makanan domestik untuk mengurangkan bil sumber makanan yang tinggi malah mencecah RM1.3 bilion setahun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Junz Wong berkata beberapa produk makanan yang berpotensi tinggi diusahakan di negeri ini juga sudah dikenalpasti kementeriannya.

“Teras utama Kerajaan Negeri meningkatkan tahap pengeluaran domestik sejajar usaha mewujudkan imbangan dagangan yang positif khususnya pengeluaran bahan makanan.

“Misalnya, pengeluaran padi boleh ditingkatkan lagi kerana setakat ini hanya berupaya menampung 20 sehingga 25 peratus sahaja daripada keperluan domestik,” katanya.

Junz berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dr. Daud Yusof di sebuah hotel di sini hari ini.

Teks ucapannya itu disampaikan sempena Majlis Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Sabah 2018 yang dihadiri 150 peserta dari seluruh negeri.

Difahamkan, ketika ini penggunaan teknologi baharu penanaman padi di kawasan seluas 40, 314 hektar terbukti berjaya sehingga menghasilkan lebih 10 MT (metrik tan) sehektar.

“Kita mahukan bidang pertanian ini boleh mencipta sumber rezeki baharu untuk rakyat, kerana kita percaya golongan petani, penternak dan nelayan juga mampu hidup senang.

“Malah kerajaan juga mengimpikan untuk melahirkan lebih ramai jutawan baharu negara menerusi sektor pertanian dan industri asas tani,” katanya.

Menurutnya, sektor pertanian perlu beralih kepada kaedah komersil dari rutin tradisional (sara diri) untuk mencapai pengeluaran besar-besaran serta pendapatan yang maksimum.

Beliau berkata sektor berkenaan perlu melihat potensi amalan pertanian moden yang berorientasikan pasaran dan permintaan pelanggan untuk meneroka peluang lebih luas.

“Produk pertanian mesti selamat dimakan, berkualiti menepati tahap Pensijilan Akreditasi Ladang, harga kompetitif serta berdaya saing untuk pasaran domestik dan luar,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasrat Kerajaan Persekutuan seiring dengan Kerajaan Negeri untuk menjadikan sektor pertanian progresif, komersil dan berdaya saing.

Pada masa sama, lebih ramai wanita dan anak muda disaran menceburi bidang pertanian yang menawarkan pelbagai peluang untuk diteroka, contohnya pemasaran dan teknologi.

“Sektor pertanian bukan hanya menyediakan peluang pekerjaan dan sumber makanan tetapi juga menyumbang Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan eksport,” katanya.

Sempena majlis bertemakan ‘Makanan Kita Masa Hadapan Kita’ itu, turut diadakan pengisian program berbentuk pembentangan kertas kerja agensi dan jabatan kerajaan.

Turut diadakan, perkongsian maklumat Dasar Pertanian Negeri Sabah Ketiga (DPN3) serta perkembangan teknologi terkini dalam sektor pertanian kepada peserta yang terlibat.

  • oleh
  • Advertisement