Anda di sini

Festival Filem Jepun kembali ke Kuching pada 4-7 Oktober ini

Advertisement

KUCHING: Peminat-peminat filem Jepun di sini sekali lagi berpeluang menonton pelbagai genre filem negara matahari terbit itu yang akan ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) CityONE Megamall bersempena Festival Filem Jepun 2018 (JFF 2018) mulai 4 Oktober sehingga 7 Oktober ini.

Festival itu juga kali ini turut berlangsung secara serentak di GSC Suria Sabah, Kota Kinabalu pada tarikh yang sama seperti di Kuching.

Sama seperti tahun-tahun sebelumnya, satu acara pembukaan rasmi akan diadakan di GSC CityONE di sini pada 3 Oktober dengan satu tayangan khas filem ‘The 8-Year Engagement’ arahan Takahashi Zeze.

 

JFF 2018 anjuran Yayasan Jepun Kuala Lumpur (JFKL) yang kini memasuki edisi ke-15 dan kali ke-7 diadakan di Kuching membuka tirainya di Klang Valley pada 6 September lepas di GSC Mid Valley, GSC NU Sentral, GSC Pavilion KL, dan GSC 1 Utama.

Buat pertama kalinya, JFF turut dibawa ke bahagian selatan Malaysia iaitu di Johor Bahru.Festival kemudiannya bergerak ke Pulau Pinang, diikuti Kuching dan juga Kota Kinabalu.

Menampilkan 13 filem terkini merentasi pelbagai genre termasuk drama, saspens, dokumentari dan komedi, JFF 2018 menjanjikan pengalaman budaya Jepun yang benar-benar mendalam bagi para penonton tanpa mengira peringkat umur dan cita rasa masing-masing.

Tiga belas filem itu adalah ‘Ramen Heads’, ‘3Ft Ball & Souls’, ‘Chihayafuru Part 3’, ‘Tremble All You Want’, ‘Yakiniku Dragon’, ‘We Make Antiques!’, ‘Memoirs of a Murder’, ‘Mixed Doubles’, ‘Born Bone Born’, ‘Perfect World’, ‘The 8-Year Engagement’, ‘Her Sketchbook’ dan ‘The Gift of Memory / The Gift of Memory ~Ça Va?’.

Kesemua filem itu akan ditayangkan dalam Bahasa Jepun dengan sarikata Bahasa Inggeris.

Tiket untuk JFF 2018 dijual pada harga RM8.50 kecuali untuk ‘Ramen Heads’ dan ‘3Ft Ball & Souls’ yang dijual pada harga tiket semasa GSC.

Tiket boleh dibeli menerusi kaunter tiket GSC, e-bayaran GSC di gsc.com.my atau aplikasi mudah alih GSC.

Masa tayangan dan keterangan am boleh didapati di jfkl.org.my dan gsc.com.my.

Advertisement