Anda di sini

Cadangan sewa beli aset bot PPM

Advertisement
MOHD Yazib dan isteri diarak anggota PPM selepas majlis tamat.
MOHD Yazib dan isteri diarak anggota PPM selepas majlis tamat.

LAHAD DATU: Komander Pasukan Polis Marin (PPM), Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat optimis pada kaedah sewa beli aset pengoperasian khususnya bot bagi mempertingkatkan keupayaan penugasan pasukan di perairan Pantai Timur Sabah.

Menurutnya, kaedah yang akan dicadangkan kepada kerajaan itu dilihat praktikal bagi menyelesaikan permasalahan kesiapsiagaan pasukan khususnya dalam pengoperasian melibatkan jenayah rentas sempadan termasuk aktiviti penculikan untuk wang tebusan (KFR).

"Kita akan meminta kepada kerajaan untuk melaksanakan kaedah sewa beli. Melaluinya, pasukan akan menumpukan pada operasi sahaja manakala penyelenggaran, pembaikan dan sebagainya tidak perlu.

"Melalui kaedah ini, saya melihat bot-bot operasi semua akan bersedia setiap masa yang boleh diguna pada bila-bila masa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Yusoff berkata pelaksanaan kaedah itu memerlukan penelitian yang khusus dari segi sistem pembayaran yang tentunya perlu memenuhi dasar penjimatan kerajaan.

Katanya, samada pembayaran sewa itu dibuat berdasarkan bayaran bulanan, tempoh masa penggunaan dan lain-lain pilihan akan diteliti lebih lanjut.

Tambahnya, pelaksanaan kaedah itu praktikal untuk mempersiapkan sekurang-kurangnya 60 peratus kesiapsiagaan aset dan pasukan untuk sebarang penugasan di perairan.

Beliau turut meletakkan sasaran untuk melaksana transformasi dalam pasukan dan amnya masyarakat dengan memberi penekanan terhadap nilai-nilai murni kenegaraan yang dilihat amat penting dipertingkatkan.

"Nilai dalaman sumber manusia samada dalam pasukan dan masyarakat perlu dipertingkatkan kerana negara akan baik membangun jika semua memiliki nilai taat setia, kuat bekerja, semangat untuk bangkit membina kemajuan negara, mempertahankan negara dan nilai-nilai lain," katanya.

Pada majlis itu, Mohd Yusoff menyaksikan serah terima tugas diantara ACP Mohd Yazib Abdul Aziz yang bersara selepas 32 tahun 9 bulan berkhidmat kepada Pemangku Komander baharu, Supt Abdul Nasir Othman.

  • oleh
  • Advertisement