Anda di sini

Yusuf tidak setuju syor turunkan had umur kahwin

Advertisement
YUSUF (tengah) bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Beaufort dan barisan tetamu kehormat di majlis itu.
YUSUF (tengah) bersama Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Beaufort dan barisan tetamu kehormat di majlis itu.

WESTON: Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusuf Yacub tidak bersetuju syor Mufti Negeri Sabah mengenai had umur kahwin perempuan diturunkan daripada 18 tahun kepada 14 tahun manakala lelaki kepada 16 tahun.

Beliau berkata, walaupun dari segi syarak ia dibolehkan jika sudah akil baligh, namun sebaiknya golongan itu diberi peluang bersekolah bagi membina karier selepas persekolahan.

"Saya secara peribadi berpendapat umur 14 tahun bagi perempuan terlalu muda (berkahwin) kerana masih di zaman persekolahan... habiskan pembelajaran dan dapatkan pekerjaan (sebelum berkahwin).

"Sebagai bapa, saya sendiri tidak akan benarkan anak saya kahwin pada usia 14 tahun... beri peluang kepadanya belajar dulu supaya dapat membina karier dan masa depan lebih baik sebelum berkahwin," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Maal Hijrah Peringkat Daerah Beaufort di Dewan Seri Dayang Weston, di sini hari ini.

Hadir sama, Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Pengerusi Baitulmal Negeri Sabah Abdul Rahman Yacub, Pegawai Daerah Beaufort Shaid Othman dan Ketua Polis Daerah DSP Azmer Abd Razak.

Yusuf berkata, bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan mengkaji perkara berkenaan secara terperinci dan belum membuat sebarang keputusan.

"Kita di peringkat Kerajaan Negeri akan kaji dan meneliti perkara ini. Belum ada sebarang keputusan dibuat mengenainya," jelasnya.

Baru-baru ini, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @Aziz Jaafar mengesyorkan supaya had umur minimum perkahwinan tidak ditetapkan kepada 18 tahun kerana sesetengah kanak-kanak kini sudah boleh dianggap matang.

Katanya, remaja yang berusia 14 tahun boleh dibenarkan berkahwin sekiranya mereka sudah akil baligh selain tertakluk kepada kes-kes tertentu, malah hukum syarak turut membenarkan jika menepati syariat.

Pada masa sama katanya, cadangan dikhususkan untuk remaja tidak lagi bersekolah dan mampu memikul tanggungjawab sebagai isteri itu, mampu mengatasi masalah sosial termasuk zin.

Advertisement