Anda di sini

Roket Ariane 5 berlepas buat kali ke-100

Advertisement
 Roket Ariane 5 berlepas untuk misinya yang ke-100 ke angkasa lepas dari Kourou, French Guiana, kelmarin. — Gambar AFP
MISI KE-100: Roket Ariane 5 berlepas untuk misinya yang ke-100 ke angkasa lepas dari Kourou, French Guiana, kelmarin. — Gambar AFP

PARIS: Sebuah roket buatan Eropah telah berlepas dari French Guiana buat kali ke-100, dalam satu pencapaian simbolik bagi syarikat yang membuatnya ketika ia semakin menerima tekanan daripada program SpaceX milik Elon Musk.

Pesawat angkasa Ariane 5 berlepas dari tapak pelancaran Caribbean berkenaan kelmarin pada jam 19.38 (waktu tempatan), untuk membawa dua satelit telekom ke angkasa lepas.

Dalam perkhidmatan selama lebih dua dekad dan berupaya untuk membawa muatan berat ke langit, roket Ariane 5 telah menjadi jentera kerja pelancaran angkasa Eropah di bawah bimbingan Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Namun ia akan diganti tidak lama lagi dengan model yang lebih moden, roket Ariane 6, yang dianggarkan 40 peratus lebih murah untuk dibuat.

Ini sebahagiannya sebagai respons kepada ketibaan SpaceX ke dalam dunia pe-nerbangan angkasa komersil, dengan roket Falcon 9 yang dapat diguna semula dan mempunyai potensi untuk mengatasi program saingan.

SpaceX sudah memintas syarikat pembuatan di Eropah, Arianespace, dari segi jumlah pelancaran selama dua tahun berturut-turut.

“Kami menghadapi persaingan yang luar biasa,” kata ketua Arianespace, Stephane Israel, kepada AFP.

Sejak ia pertama kali dilancarkan pada 1996, roket Ariane 5 sudah meletakkan 205 satelit ke angkasa lepas termasuk sistem GPS Eropah, Galileo. — AFP

Advertisement