Anda di sini

Mogok umum melumpuhkan Argentina

Advertisement
 Anggota Pasukan Tentera Laut Argentina (PNA) cuba menghalang penunjuk perasaan daripada menyekat jambatan Pueyrredon di Avellaneda, Buenos Aires sewaktu satu mogok umum 24 jam kelmarin. — Gambar AFP
MOGOK UMUM: Anggota Pasukan Tentera Laut Argentina (PNA) cuba menghalang penunjuk perasaan daripada menyekat jambatan Pueyrredon di Avellaneda, Buenos Aires sewaktu satu mogok umum 24 jam kelmarin. — Gambar AFP

BUENOS AIRES: Argentina dilumpuhkan oleh mogok umum kelmarin manakala ketua bank pusat meletak jawatan di tengah-tengah rundingan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pakej pinjaman krisis yang dipinda.

Sementara Presiden Mauricio Macri membincangkan pembiayaan yang dipercepatkan daripada pinjaman sebanyak AS$50 bilion (RM200 bilion) yang dipersetujui dengan IMF pada Jun lalu, mata wang negara yang terkena tempias ekoran berita bahawa Luis Caputo telah digantikan oleh  Guido Sandleris sebagai ketua bank pusat.

Mata wang peso hampir serta-merta jatuh 2.2 peratus berbanding mata wang dolar.

IMF seakan-akan menyokong perubahan itu, apabila jurucakap Gerry Rice menyuarakan keinginan untuk meneruskan “perhubungan yang rapat dan membina” dengan bank pusat Argentina.

Kemudian, ketua IMF Christine Lagarde berkata persetujuan dengan Argentina “dekat dengan garisan pe-namat” selepas “pertemuan yang sangat baik” dengan Macri dalam acara sampingan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Kerajaan haluan kanan tengahnya menggunakan bahagian awal sebanyak AS$15 bilion (RM60 bilion) daripada pinjaman tersebut untuk menopang mata wang peso yang tertekan, dengan AS$3 bilion (RM12 bilion) lagi dijadualkan pada November dan bakinya dalam tempoh tiga tahun seterusnya.

Rakyat Argentina membantah kehilangan kuasa beli yang disebabkan oleh kemerosotan nilai mata wang peso sebanyak 50 peratus berbanding mata wang dolar pada tahun ini.

Banyak kedai, bank dan pejabat awam ditutup manakala pengangkutan awam dan teksi tidak bergerak.

Ekoran demonstrasi besar-besaran Isnin lepas yang dianjurkan oleh kesatuan sekerja, penunjuk perasaan haluan kiri berdepan dengan pasukan keselamatan dekat sebuah jambatan di Buenos Aires kelmarin tetapi jalan di ibu negara amnya lengang selepas ramai orang tidak dapat pergi ke tempat kerja.

Lapangan terbang juga lengang selepas semua penerbangan keluar masuk negara dibatalkan.

Bank pusat menyatakan pada sebelah pagi bahawa Caputo meletak jawatan atas ‘sebab-sebab peribadi”, de-ngan keyakinan bahawa “perjanjian baharu dengan IMF akan memulihkan keyakinan kepada situasi fiskal, kewa-ngan, monetari dan pertukaran”.

Beberapa penganalisis berkata khabar angin sudah berkisar Jumaat lepas bahawa beliau akan meletak jawatan disebabkan oleh “perselisihan dengan IMF berhubung dasar kewangan”, menurut pakar ekonomi Argentina, Gabriel Rubinstein.

Caputo, bekas ketua dagangan di JP Morgan dan Deutsche Bank, rapat dengan Macri dan menjadi menteri kewangan sebelum beliau dilantik untuk menjadi presiden bank negara pada Jun lalu.

Penggantinya, Sandleris, merupakan seorang pakar ekonomi yang pernah bekerja untuk Bank Dunia dan Bank Pembangunan Antara Amerika. Beliau menjadi timbalan menteri kewangan sebelum dinamakan sebagai presiden bank pusat.

Sandleris diberi rujukan yang cemerlang oleh Men-teri Kewangan Nicolas Dujovne, yang memanggilnya “seorang individu yang amat bijak” dan Argentina akan “mula memenangi per-tarungan dengan inflasi” bersamanya.

Inflasi dijangka mencecah 40 peratus pada hujung tahun ini manakala ekonomi diramal akan menguncup sebanyak 2.0 peratus. — AFP

Advertisement