Anda di sini

Menteri Luar Jepun lawat Sandakan

Advertisement
GANESH menyampaikan cendera kenangan kepada Sato.
GANESH menyampaikan cendera kenangan kepada Sato.

SANDAKAN: Menteri Luar Jepun Masahisa Sato dan delegasi membuat lawatan dua hari ke daerah ini di mana, Markas Wilayah Laut 2 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diberi penghormatan pertama lawatan itu ke arah memperkukuhkan hubungan dua hala.

Delegasi seramai lapan orang itu turut disertai oleh Atase Pertahanan Jepun ke Malaysia Kolonel Manabu Mizokami bersama pegawai dari Kementerian Luar Jepun, Kedutaan Besar Jepun di Kuala Lumpur dan Pejabat Konsulat Kedutaan Besar Jepun di Kota Kinabalu.

Ketibaan delegasi di Markas Wilayah Laut 2 (Mawilla 2) pada petang Rabu telah disambut oleh Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Dato’ Ganesh Navaratnam dan pegawai-pegawai kanan Mawilla 2.

Terdahulu, Sato telah menandatangani buku pelawat sebelum diberikan taklimat eksekutif Mawilla 2 yang disampaikan sendiri oleh Ganesh.

Dalam sesi itu juga, Sato dan Ganesh saling bertukar pendapat dan cadangan yang menjurus kepada keselamatan maritim di Laut Sulu dan Sulawesi, kerjasama dua hala dalam bidang ketenteraan serta isu-isu semasa serantau.

Sato amat menghargai hubungan erat yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Jepun selama ini serta menyatakan pihaknya juga bersedia untuk memberikan bantuan dari aspek teknologi dan peralatan untuk meningkatkan keupayaan dalam memantapkan keselamatan maritim di kawasan timur Sabah.

Beliau mengesahkan Trilateral Cooperative Arrangement (TCA) yang usahakan di antara Malaysia-Indonesia-Filipina telah memberikan banyak kebaikan dan keyakinan kepada negara serantau khususnya dalam menjaga keselamatan maritim di Laut Sulu dan Sulawesi.

Sato juga menyatakan disebabkan perkembangan semasa di Laut China Selatan, mereka sedang mempertimbangkan laluan alternatif untuk kapal-kapal dagang Jepun khususnya yang membawa sumber minyak dari timur tengah menggunakan alur Selat Lombok seterusnya ke Laut Sulawesi, Laut Sulu dan Laut Makassar sebelum ke negara Jepun.

Katanya, mereka telah memerhatikan bagaimana laluan itu digunakan oleh kapal-kapal dagang yang membawa biji besi dari Australia.

Dalam rangka lawatan singkat itu, delegasi dibawa meninjau di sekitar jeti Tambatan Pangkalan Sandakan (TPS) dan melawat kapal-kapal yang berlabuh.

Kunjungan julung kali yang dilaksanakan di Mawilla 2 dan Sandakan itu juga dilihat bakal membuka satu lembaran baharu dalam perhubungan antarabangsa antara Malaysia-Jepun khususnya di negeri Sabah.

  • oleh
  • Advertisement