Anda di sini

Malaysia memerlukan lebih ramai ‘doktor pokok’

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan lebih ramai arborist atau ‘doktor pokok’ yang berperanan menentukan pokok yang menghiasi bandar raya adalah selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada orang ramai, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah.

Beliau berkata sehingga kini cuma terdapat 109 arborist yang disahkan oleh  Persatuan Arborist Malaysia (PArM) dan cuma 25 orang yang mempunyai sijil kelayakan penilaian risiko pokok.

“Dengan kesedaran mengenai manfaat pokok serta bahaya yang ditimbulkan oleh pokok yang tdak jaga dengan baik usaha agensi, pertubuhan kerajaan dan sektor swasta terhadap isu tersebut harus ditingkatkan,” katanya pada persidangan Arborikultur Antarabangsa Kuala Lumpur (INTAC KL 2018), di sini semalam.

Beliau menyokong usaha Kementerian Sumber Manusia untuk melatih arborist menerusi pendidikan kemahiran berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Nasional dengan kerjasama Standard Malaysia, dan Kementerian Alam Sekitar, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim.

“Memandangkan pentingnya latihan berasaskan kemahiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui mekanisme piawaian antarabangsa, sudah tiba masanya untuk pihak berkuasa tempatan menjalankan kerja-kerja arborikultur untuk memastikan semua pokok di bandar aman bagi orang rama,” katanya.

Selain itu, Raja Kamarul Bahrin berkata pada 2018, kira-kira 80 peratus atau 25.97 juta orang daripada jumlah 32.47 juta penduduk Malaysia adalah penduduk bandar, dan mereka terdedah kepada risiko pokok yang tumbang di sekitar kawasan bandar terutamanya ketika ribut.

Bagaimanapun, kejadian pokok tumbang tidak hanya semasa ribut seperti yang berlaku berhampiran KLCC di Kuala Lumpur tidak lama dahulu dan menegaskan bahawa “Ini adalah isu yang memerlukan perhatian segera oleh semua pihak untuk melindungi nyawa,” katanya.

Beliau berkata kejadian pokok tumbang mungkin tidak dapat dielak, namun tanda-tanda kecacatan pada pokok berkenaan boleh dikesan oleh seorang arborist yang terlatih dan pokok berkenaan boleh ditebang untuk keselamatan orang awam.

Persidangan INTAC KL 2018 itu yang bertemakan keselamatan, ketahanan dan kemampanan, telah disertai oleh kira-kira 180 orang arborst serta pihak yang berkepentingan  dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Hong Kong dan Amerika Syarikat.

Persidangan tiga hari itu dianjurkan oleh PArM, Universiti Putra Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Landskap Negara, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dan Perbadanan Putrajaya. — Bernama

Advertisement