Anda di sini

KPI tunggu siasatan penuh kemalangan kereta api, kereta

Advertisement
PETER ANTHONY
PETER ANTHONY

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) masih menunggu lapuran penuh daripada pasukan penyiasat mengenai kejadian kemalangan membabitkan kereta api dan sebuah kereta sedan pada Rabu.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata, pasukan penyiasat adalah dari Jabatan Siasatan Jenayah Polis dan bedah siasat juga telah dilakukan. Siasatan itu dijangka siap dalam masa terdekat.

"Jadi kita masih menunggu keputusan sama ada palang itu berfungsi atau tidak dan sama ada ia telah disabotaj atau berlaku vendalisme kecurian wayar kerana perkara seperti itu sering kali berlaku apabila melibatkan vendalisme kecurian di semua stesen dan tempat-tempat yang mempunyai wayar atau kabel," katanya di sini hari ini.

Peter berkata, KPI telah mengambil pendekatan drastik untuk membuat pemeriksaan ke atas semua palang di seluruh tempat.

"Kita akan menghantar pengawal-pengawal keselamatan untuk membuat pemeriksaan di samping mengingatkan kepada pemandu kereta api untuk memperlahankan kelajuan terutama di kawasan Kota Kinabalu yang terlalu banyak simpang masuk," katanya.

Katanya, berikutan siasatan yang dijalankan, laluan kereta api pada masa ini hanya dibenarkan dari Beaufort hingga ke Kinarut.

Beliau berkata, kemalangan itu juga berlaku ketika hujan lebat, kemungkinan menyebabkan siren kereta api sukar didengar dengan jelas.

Menurutnya, terdapat lebih lima laluan yang mempunyai palang di sepanjang laluan Kota Kinabalu hingga Kinarut, Papar.

Peter berkata, insiden kemalangan itu bukan yang pertama, di mana suatu ketika dahulu insiden seperti itu pernah berlaku melibatkan kereta api dengan sebuah lori tangki minyak.

"Tetapi kemalangan kali ini menyedihkan di mana berlaku kehilangan jiwa. Saya sempat melawat mangsa. Seorang daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan kini masih mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

"Saya telah mengarahkan di peringkat KPI dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah untuk membantu sedaya mungkin mangsa-mangsa yang terlibat," katanya.

Bagi pihak kerajaan dan KPI, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan akan membantu dalam perkara yang melibatkan urusan berwajib dan keperluan keluarga.

"Saya telah mengarahkan kementerian untuk memberi bantuan sepenuhnya," katanya.

Dalam kejadian pada Rabu itu, seorang lelaki maut manakala sepupunya parah selepas kereta dinaiki dirempuh kereta api sebelum diseret kira-kira 200 meter di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Petagas, dekat sini, petang Rabu.

Peter berkata, KPI mempunyai perancangan untuk mencari inisiatif baharu supaya jalan-jalan yang mempunyai lintasan di Kota Kinabalu dipindahkan ke tempat yang tidak bertembung dengan kenderaan.

Katanya, perkara itu juga telah dibincangkan di peringkat negeri, bagaimana mewujudkan rangkaian kereta api yang baharu.

Sejak mengambil alih KPI, beliau sangat dukacita dengan kedudukan kereta api di Sabah dari segi keperluan, seolah-olah tidak mempunyai piawaian dan tidak sesuai untuk dilaksanakan.

"Terutama kereta api dari Beaufort ke Tenom, namun perkhidmatan kemudahan untuk kegunaan hampir 2,000 pengguna ini sukar untuk diberhentikan. Saya telah berbincang dengan Ketua Menteri untuk menggantikan semua kereta api yang ada.

"Saya juga telah meluahkan perkara ini kepada Menteri Ekonomi Azmin Ali untuk bantuan peruntukan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement