Anda di sini

China minat labur RM2 bilion di Sabah

Advertisement
 JUHAR (tengah) dan Norlidah (tiga dari kanan) memotong kek bersama tetamu kehormat pada majlis itu.
JUHAR (empat kanan) dan Norlidah (tiga dari kanan) memotong kek bersama tetamu kehormat pada majlis itu.

KOTA KINABALU: China berminat melabur RM2 bilion di Sabah dengan menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, pelaburan berkenaan merupakan yang kedua terbesar sejak kerajaan baharu ditubuhkan.

Katanya hubungan Malaysia dan China terutama Sabah merupakan hubungan yang amat penting dan kukuh serta memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini juga menekankan hubungan baik kedua-dua negara amat penting bukan hanya kerana kehadiran pelancong yang datang ke sini, tetapi kehadiran mereka turut membantu komuniti perniagaan dalam negara.

“Saya difahamkan oleh Konsul Jeneral China ke Sabah Laing Caide, seramai 500 ribu pelancong dari negara itu telah mengunjungi Sabah walaupun berlaku kemalangan yang di luar jangka.

“Sabah juga perlu belajar dengan China dan berkongsi bagaimana sebuah negara komunis kini telah bertukar menjadi pesaing dengan negara kapitalisme," katanya.

Shafie berkata sepanjang 69 tahun penubuhan Republik China, negara itu telah mencapai kejayaan yang amat memberangsangkan dan rakyat di negara ini perlu belajar bagaimana untuk membangun bersaing dengan negara kuasa ekonomi yang lain.

Beliau juga berharap kehadiran pelancong di negara ini akan dapat menjana ekonomi penduduk setempat selain dapat memperkenalkan budaya tempatan kepada pelancong.

“Sabah kaya dengan makanan dan produk-produk pelancongan serta budaya tradisi yang tidak ada di negeri lain di Malaysia.

“Pada hujung minggu ini, kita akan menganjurkan Perayaan Kuih Bulan di Jalan Gaya yang bakal dihadiri oleh ribuan pengunjung.

"Kerajaan tempatan amat menyokong program-program ini bukan setakat memberi galakan, malah memberi bantuan kewangan untuk memastikan kita tidak terpisah oleh perbezaan agama dan kaum.

"Jadi, anda dapat menyaksikan bagaimana kami memelihara budaya masyarakat Cina di Sabah,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-69 Penubuhan Republik China di Lintasan Deasokan, malam Rabu.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Dr Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Christina Liew, serta Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Jaujan Sambakong.

Advertisement