Anda di sini

Seorang maut, tiga cedera nahas dua kenderaan

Advertisement
 Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran kereta tersebut.
MARAK: Kelihatan anggota bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran kereta tersebut.

SERIAN: Seorang lelaki maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 76 Jalan Kuching-Sri Aman, dekat sini kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Thomas Inggol Unggau berusia 42 tahun dan berasal dari Kampung Belimbing, di sini.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu rakan mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) sekitar jam 8.10 malam Isnin lepas.

“Mujur ketiga-tiga lelaki yang menaiki kereta tersebut (termasuk mangsa) berjaya dikeluarkan (dari kereta) oleh orang awam sebelum ia terbakar.

“Mangsa yang dikatakan penumpang hadapan mengalami kecederaan di bahagian leher serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa pegawai perubatan dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian turut hadir di lokasi kejadian untuk menyalurkan bantuan.

Tiga lagi mangsa termasuk pemandu 4WD terbabit telah dikejarkan ke Hospital Serian untuk mendapatkan rawatan.

Kes tersebut masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • oleh
  • Advertisement