Anda di sini

RASUAH: Anggota Parlimen UMNO dan abang direman empat hari

Advertisement
 ‘Datuk Seri’ direman SPRM empat hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah. - Foto BERNAMA
 ‘Datuk Seri’ direman SPRM empat hari bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Seorang Anggota Parlimen UMNO bergelar ‘Datuk Seri’ dan abangnya ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes berkaitan rasuah.

Turut direman ialah seorang lelaki berusia 36 tahun yang juga pengarah syarikat berkaitan dengan Datuk Seri itu yang sebelumnya ditahan pada 5.30 petang semalam di Putrajaya.

Perintah tahanan reman berkuat kuasa hari ini itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut jurucakap SPRM, wakil rakyat dari sebuah negeri di utara Semenanjung itu ditahan pada kira-kira pukul 11 pagi semalam di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini, selepas hadir memberi keterangan.

Beliau ditahan mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 bagi membantu siasatan kes menerima rasuah, katanya.

SPRM juga, katanya turut menahan abang kepada suspek setengah jam kemudian di sebuah lokasi di Sungai Buloh, Selangor.

Terdahulu, ketibaan Anggota Majlis Tertinggi UMNO itu  dengan berpakaian lokap SPRM dan bergari pada pukul 10.30 pagi itu disambut  oleh segelintir penyokongnya yang menunggu di perkarangan mahkamah sejak pukul 8 pagi. - BERNAMA

Advertisement