Anda di sini

Penumpang maut dalam tragedi kereta dirempuh kereta api

Advertisement
KEADAAN kereta selepas dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 200 meter.
KEADAAN kereta selepas dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 200 meter.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala sepupunya parah selepas kereta dinaiki dirempuh sebelum diseret kereta api sejauh kira-kira 200 meter di Jalan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) Petagas, di sini petang tadi.

Mangsa yang juga penumpang di bahagian hadapan kereta, Daniel Safuan Omar, 22, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 petang ketika menerima rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1).

Saksi kejadian yang juga seorang peniaga gerai cendol berdekatan lokasi kemalangan, Abdul Karim Abdul Ghani, 64, berkata dia menyedari kejadian selepas mendengar dentuman kuat serta bunyi siren kereta api secara berterusan berbanding selalu.

"Sebaik berpaling ke arah bunyi dentuman itu, saya melihat kereta mangsa sedang diseret oleh kereta api yang datang dari arah Putatan.

"Saya tidak sanggup melihat lebih lanjut berikutan mengenali kenderaan mangsa iaitu penduduk Kampung Peringatan, Petagas, sendiri yang selalu membeli cendol di gerai saya," katanya.

Beliau yang sudah berniaga di kawasan berkenaan sejak puluhan tahun berkata kejadian seumpama sudah kerap berlaku sebelum ini dan mendakwa ia disebabkan penghadang laluan tidak berfungsi di jalan berkenaan.

Sementara itu, seorang penumpang kereta api, Sazali Shari, 38, berkata dia menaiki kereta api itu di gerabak paling hujung dari Beaufort menuju ke pusat bandar.

"Ketika kejadian, sebahagian besar penumpang tidak menyedari kemalangan itu berikutan pergerakan kereta api bergerak seperti biasa, tambahan pula keadaan cuaca yang hujan ketika itu.

"Kami hanya menyedari kejadian selepas kereta api berhenti dan melihat kereta mangsa sudah diseret kira-kira 200 meter dari laluannya kira-kira jam 1.40 petang," katanya.

Dalam pada itu Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abdul Rakman mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut kes mati mengejut (SDR).

"Siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati mangsa memandu dari Tugu Peringatan Petagas menuju keluar ke jalan utama iaitu Jalan Kepayan.

ABDUL Karim (kiri) dan Sazali semasa ditemui di lokasi kejadian.
ABDUL Karim (kiri) dan Sazali semasa ditemui di lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, palang penghadang didapati tidak dipasang dan mangsa juga tidak menyedari kereta api sedang melintas menyebabkan kereta mangsa dirempuh sebelum diseret," katanya.

Beliau juga menasihatkan pengguna jalan untuk peka terhadap tanda amaran termasuk palang kereta api bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang.

Ketua Operasi Pegawai Bomba Kanan II Ngo Avan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 1.18 petang dan menggegaskan 11 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu ke lokasi sejauh 5 kilometer dari balai.

"Anggota bomba melakukan operasi mengeluarkan dua mangsa yang mengalami kecederaan parah masing-masing berumur 20 dan 22 tahun, yang tersepit di kereta jenis sedan sebelum dihantar ke hospital bagi rawatan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata operasi ditamatkan pada jam 1.47 petang.


KRONOLOGI KEMALANGAN KERETA API 2015 hingga 2018
 

- 2 Februari 2015- Kereta api merempuh jengkaut di Bandau, Membakut menyebabkan kepala kereta api melencong dari landasan utama
- 1 Nov 2017- Pemandu pikap maut, tiga rakan cedera kereta dirempuh dan diseret kereta api sejauh 15 meter di Kampung Mandahan, Papar
- 19 Mac 2018- Remaja perempuan maut terjatuh dari kereta api di Batu 62, Beaufort
- 19 Jun 2018- Kereta sedan dirempuh di Kampung Takis, Papar
- 26 September 2018- Penumpang maut, pemandu cedera kereta dirempuh di Jalan Petagas

  • oleh
  • Advertisement