Anda di sini

MASwings dirayu tambah penerbangan ke Ba’Kelalan

Advertisement
 Penduduk kampung terus menunggu nama mereka dipanggil untuk penerbangan di Lapangan Terbang Ba’Kelalan.
TUNGGU: Penduduk kampung terus menunggu nama mereka dipanggil untuk penerbangan di Lapangan Terbang Ba’Kelalan.

Oleh Clare Cinderella

MIRI: Setiap kali mahu menaiki pesawat dari Ba’Kelalan ke Lawas, penduduk kampung berkenaan terpaksa menunggu giliran untuk nama mereka dipanggil daripada ‘senarai menunggu’.

Ini kerana pesawat kecil Twin Otter milik MASwings hanya mampu membawa 14 penumpang pada setiap penerbangan dan tidak mampu menampung jumlah penumpang yang datang dan balik dari kawasan tanah tinggi terletak paling utara di Sarawak.

Justeru, penduduk dari kawasan tanah tinggi itu merayu kepada MASwings agar menambah penerbangan keluar masuk ke Ba’Kelalan dari Lawas dan Miri berikutan permintaan agak tinggi terutama pelancong datang ke daerah terpencil itu.

Pengerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ba’Kelalan Tadam Arun berkata penduduk tempatan di sini terpaksa menunggu giliran mengikut ‘senarai menunggu’ jika mahu menaiki penerbangan sama ada pergi atau keluar dari Ba’Kelalan.

Katanya, situasi ini turut melibatkan anak-anak bersekolah di luar kawasan Ba’Kelalan sehingga memaksa mereka memilih jalan darat dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, kebanyakannya pikap dan menempuh perjalanan panjang memakan masa enam jam atau lebih semata-mata mahu balik ke kampung halaman masing-masing.

“Sehubungan itu, kami merayu kepada MASwing agar menambah penerbangan pergi balik ke Ba’Kelalan dan Lawas bagi menampung permintaan serta keperluan penduduk tempatan dan pelancong,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Tadam memberitahu, dalam sehari MASwings hanya menyediakan dua penerbangan sahaja yang dapat membawa 14 penumpang dalam satu-satu penerbangan.

“Penerbangan ini hanya pada Isnin, Rabu, Khamis dan Sabtu, ternyata tidak mencukupi untuk menampung keperluan penduduk pergi balik dari Ba’Kelalan ke Lawas,” katanya sambil menambah, keadaan semakin sukar apabila terpaksa ‘bersaing’ dengan pelancong atau pengunjung bagi mendapatkan tempat duduk dalam pesawat kecil itu.

“Amat menyedihkan melihat penduduk kampung ingin pergi ke luar (Ba’Kelalan) yang menunggu nama mereka dipanggil dari senarai menunggu tiba-tiba dimaklumkan bahawa tiada tempat lagi dalam pesawat kerana sudah penuh majoritinya diduduki pelawat.

“Ada kalanya penduduk kampung lebih memerlukan ‘tempat duduk’ kerana sebab-sebab penting seperti temu duga bekerja atau mahu turun untuk bekerja, mesyuarat dan sebagainya tetapi gagal mendapat tempat duduk,” tambahnya.

Menurut Tadam, hal ini kerap berlaku kerana pelancong atau pengunjung datang ke Ba’Kelalan membeli dan menempah tiket penerbangan pergi balik sekali gus secara atas talian, sebaliknya penduduk kampung membeli secara terus di kaunter tiket di lapangan terbang kecil tersebut.

Katanya, situasi inilah yang meletakkan nama mereka sentiasa dalam ‘senarai menunggu’ jika tiada kekosongan ketika itu.  

“Kami merayu kepada MASwings untuk penerbangan tambahan diadakan pada Selasa, Jumaat dan Ahad bagi menampung permintaan apatah lagi dengan Ba’Kelalan semakin popular sebagai destinasi pelancongan ketika ini,” jelasnya.

Kerancakan industri pelancongan khususnya di Ba’Kelalan yang menawarkan konsep pengembaraan, kebudayaan dan alam sekitar sesuatu amat baik namun perlu diseimbangkan dengan tuntutan dan keperluan penduduk setempat.   

Justeru, sudah tiba masanya MASwings dan wakil rakyat tempatan mengkaji semula penyelesaian masalah ini di samping menambah jumlah penerbangan dari Lawas ke Ba’Kelalan dan sebaliknya.

  • oleh
  • Advertisement