Anda di sini

GPS perlu selesai isu berkaitan Sarawak

Advertisement

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu menggunakan sepenuhnya kesempatan yang ada dengan menyelesaikan isu berkaitan Sarawak bagi memastikan parti dari Semenanjung tidak diterima di negeri ini.

Veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos berkata, ia termasuk terus memperjuangkan isu seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta peratusan royalti minyak dan gas kepada Sabah dan Sarawak.

“GPS mempunyai sebab sebenar dalam memperjuangkan hak Sarawak dan ia adalah isu penting.

“Ia juga akan memastikan parti-parti politik berasal dari Semenanjung termasuk rakan tempatan mereka di sini tidak diterima sepenuhnya di Sarawak,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

PETER MINOS
PETER MINOS

Minos berkata, beliau sebelum ini pernah ditegur oleh ‘individu’ semasa satu majlis yang menyatakan bahawa ‘pastikan GPS menang pada Pilihan Raya Negeri akan datang dan tidak membenarkan parti dari Semenanjung menguasai Sarawak’.

Katanya, jika sentimen individu berkenaan menggambarkan situasai politik Sarawak, maka GPS mempunyai masa depan.

“Saya percaya sentimen sedemikian memang wujud dan sebab itu GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) menggunakan kesempatan sepenuhnya terutama ke arah PRN 2021 nanti,” tegasnya.

Beliau berkata selain daripada isu royalti dan MA63, baru-baru ini Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga pernah berjanji di hadapan rakyat untuk mengembalikan status ‘kesaksamaan’ kepada Sabah dan Sarawak.

Namun ujar beliau ada dalam kalangan rakyat Sabah dan Sarawak merasakan ia adalah salah satu daripada ‘helah’ kerajaan persekutuan yang dimainkan mereka.

Minos berkata, jika tiga perkara berkenaan tidak diselesaikan dengan segera ia pasti akan mengguris perasaan rakyat Sabah dan Sarawak.

Maka itu kata beliau, amat penting kepada kerajaan persekutuan memberi pengiktirafan kepada Sabah dan Sarawak yang ternyata ketinggalan dari segi ekonomi berbanding Semenanjung, tanpa meletakkan sebarang alasan.

“Sikap kerajaan persekutuan dikawal dan didominasi oleh individu atau parti politik dari Semenanjung.

“Jika ia sikap yang ikhlas dan mesra, ia memang baik tetapi jika sebaliknya ia mungkin agak sukar kepada Sabah dan Sarawak,” tegas beliau.

Justeru katanya dalam situasi berkenaan, adalah amat penting kepada GPS untuk memperjuangkan hak Sarawak.

Advertisement