Anda di sini

Disabit empat tuduhan judi, remaja didenda lebih RM10,000

Advertisement

SIBU: Seorang remaja perempuan berusia 22 tahun dijatuhkan hukuman denda RM10,500 oleh Mahkamah Majistret di Kanowit atas empat pertuduhan memiliki loteri awam haram.

Tertuduh yang mengaku bersalah dan membayar dendanya, dijatuhkan hukuman itu oleh Majistret Faizal Chee Saad.

Remaja itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 22 Ogos lalu sekitar jam 4.45 petang di belakang sebuah kedai di Pekan Kanowit.

Dalam satu lagi kes, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun turut dihadapkan di mahkamah sama atas tiga pertuduhan memiliki loteri awam haram.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 24 Oktober ini bagi sebutan lanjut kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara menunggu tarikh itu, remaja terbabit dibenarkan bebas dengan membayar deposit RM200.

Dia didakwa memiliki loteri awam haram pada 22 Ogos lalu sekitar jam 4 petang di belakang sebuah kedai di Pekan Kanowit.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 9(1), Akta Rumah Judi Terbuka 1953, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kanowit DSP Daniel Desmond berkata, polis Kanowit akan membuat pemantauan berterusan ke atas perjudian haram yang dijalankan.

Tindakan tegas katanya, akan diambil terhadap pelaku yang menjalankan perjudian di dalam Daerah Kanowit kerana melanggar undang-undang.

“Pelaku akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati bersalah,” ujarnya.

Advertisement