Anda di sini

Alijus yakin Badak ke separuh akhir

Advertisement
ALIJUS.
ALIJUS.

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Alijus Sipil percaya Sabah berada di kedudukan terbaik melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia yang akan ditentukan pada suku akhir kedua menentang Kelantan di Stadium Likas, Sabtu ini.

"Sabah bukan sahaja memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong tetapi agregat jaringan gol juga tidak terlalu berat untuk dicapai pasukan Sabah.

"Kekalahan 1-2 pada suku akhir pertama di Kelantan meletakkan Sabah dalam situasi hanya perlu menang sekurang-kurangnya dengan satu gol dan pastikan gawang tidak dibolosi untuk layak separuh akhir.

"Saya percaya pasukan kita sudah bersedia dan barisan jurulatih yang diketuai Jelius Ating juga sudah ada percaturan terbaik mengatasi Kelantan," kata Alijus dalam kenyataannya menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Sehubungan dengan itu, Alijus meminta penyokong memainkan peranan sebagai `pemain ke-12' dengan memberi sokongan bersemangat kepada pasukan sepanjang perlawanan itu.

Di sebalik keghairahan memberi sokongan, Alijus juga menyeru agar penyokong tidak melakukan aktiviti yang melanggar peraturan pengendalian pertandingan kerana ia boleh mengakibatkan SAFA dikenakan tindakan dan didenda oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Menjangkakan kehadiran ramai penonton, Alijus meminta kerjasama agar mereka membeli tiket lebih awal di mana ianya mula dijual sehari sebelum perlawanan pada 28 September bermula jam 10.00 pagi di kaunter menjual tiket di Stadium Likas.

"Saya juga menyeru penonton datang awal pada hari perlawanan (29 September) bagi mengelak tersekat dalam kesesakan jalan raya," katanya.
Sepak mula perlawanan adalah pada jam 8.15 malam.

  • oleh
  • Advertisement