Anda di sini

TM terus kukuh kedudukan sebagai peneraju konvergens

Advertisement
 (dari kiri) Pengurus Perhubungan Awam dan A&P Negeri, TM Sarawak Hasni Kassan bersama Hamdiah dan Jafer pada pelancaran unifi di Mukah baru-baru ini.
KINI DI MUKAH: (dari kiri) Pengurus Perhubungan Awam dan A&P Negeri, TM Sarawak Hasni Kassan bersama Hamdiah dan Jafer pada pelancaran unifi di Mukah baru-baru ini.

KUCHING: Telekom Malaysia Berhad (TM) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju konvergens di Malaysia, dengan membawakan pengalaman tanpa had, pilihan tanpa bandingan dan nilai yang tiada tandingan untuk pelanggan di Sarawak.

Pihaknya kini memberi penawaran perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang menyeluruh perkhidmatan unifi ke bahagian Mukah.

Majlis pelancaran untuk meraikan kejayaan pencapaian tersebut telah diadakan di Pejabat Residen Bahagian Mukah dan telah disempurnakan Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir yang turut dihadiri Pengurus Besar Negeri, TM Sarawak Jafer Sadig Abdul Lathiff dan Ketua Bisnes TM Sibu Awang Abdul Khairulannuar.

“Penawaran perkhidmatan unifi di Mukah adalah tepat pada waktunya apabila Sarawak kini sedang mula meneroka ekonomi digital untuk meningkatkan lagi pertumbuhan ekonominya.

“Infrastruktur telekomunikasi untuk menyokong sambungan Internet berkelajuan tinggi perlu tersedia bagi membolehkan ekonomi digital diguna pakai dengan jayanya untuk memberi manfaat kepada komuniti perniagaan dan penduduk di Mukah.

“Sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi negara yang diyakini, dengan rangkaian yang meluas dan kepakaran yang dimiliki, kami percaya TM amat berupaya memacu perjalanan transformasi digital kami.

“Kami berharap TM akan terus memperluaskan lagi perkhidmatan unifi di seluruh negeri bukan hanya di kawasan bandar malahan di pinggir bandar dan kawasan pedalaman bagi merapatkan jurang digital dengan masyarakat di bandar,” kata Hamdiah ketika berucap pada majlis itu baru-baru ini.

Sementara itu, Jafer Sadig berkata perkhidmatan unifi TM diperkembangkan ke Mukah bagi memenuhi permintaan daripada pelanggan dan ini membolehkan penduduk tempatan, terutama di Mukah menikmati perkhidmatan komunikasi bersepadu secara menyeluruh; unifi Broadband, unifi Mobile, unifi WiFi dan unifi TV.

Dengan adanya unifi di Mukah diharapkan akan memacu ekonomi digital Sarawak, merapatkan jurang digital, menghubungkan masyarakat di mana sahaja mereka berada menerusi sambungan digital, menggalakkan e-dagang, e-perbankan dan pembayaran online; bertepatan dengan janji jenama unifi, ‘Menjadikan Hidup dan Perniagaan Lebih Mudah Demi Kesejahteraan Malaysia’.

“Kami juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi penghargaan atas usaha gigih dan dedikasi seluruh warga keluarga TM yang berjaya menzahirkan pencapaian ini.

“Sebagai rakan strategik utama negara dalam menyokong aspirasi kerajaan bagi menyediakan akses Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi pada harga yang berpatutan, kami amat komited untuk mengubah landskap Sarawak dengan perkhidmatan telekomunikasi terkini untuk menggalakkan perkembangan ekonomi menerusi peluang-peluang digital di kawasan bandar dan luar bandar,” kata Jafer.

Dengan perluasan itu, perkhidmatan unifi kini boleh dilanggani di kawasan-kawasan utama di Mukah termasuk Politeknik Mukah sehingga ke Kingwood Resort, Menara Pehin Setia Raja yang menempatkan kebanyakan jabatan-jabatan Kerajaan Sarawak di Mukah termasuk Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) — pentadbir Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Perkhidmatan unifi juga akan diperluaskan ke Jalan Orang Kaya Setiaraja dan Jalan Petanak yang bakal menerima perkhidmatan ini pada akhir September 2018.

Perluasan seterusnya akan meliputi kawasan antaranya Jalan Medan Setiaraja, Jalan Tellian, Jalan Haji Latip, Jalan Kampung Pinang, Jalan Mohammad Fauzi, Taman Pelita Jaya dan Jalan Mukah/Oya manakala lokasi lain akan difiberkan oleh unifi secara berperingkat.

“Selari dengan Pelan Penambahbaikan Jalur Lebar, saya amat teruja untuk memaklumkan bahawa pakej baharu unifi kami, unifi Basic kini boleh dilanggani oleh semua pada harga yang amat berpatutan, hanya RM79 sebulan, meletakkan Malaysia dalam kalangan antara negara-negara di Asia Tenggara (selain negara-negara pusat bandar - city state countries) yang menawarkan jalur lebar talian tetap berkelajuan 30Mbps pada harga yang berpatutan,” tambah Jafer mengulas dengan lebih lanjut.

Unifi kini boleh dilanggani dengan penawaran yang dipermudahkan menerusi dua pelan baharu untuk memenuhi permintaan dinamik kesemua pelanggan.

Pelan unifi Basic sedia ada menawarkan kelajuan unifi 30Mbps (kuota 60GB) pada harga RM79 sebulan untuk semua. Langganan pelan ini dilengkapkan dengan 17 saluran percuma di aplikasi playTV@unifi yang boleh dimuat turun di Apple Store atau Google Play.

Bagi pelanggan yang memerlukan pelan tanpa kuota untuk memenuhi gaya hidup digital mereka yang lebih rancak seperti hiburan online, pengawasan kediaman, e-sukan dan lain-lain, terdapat pelan baharu 100Mbps yang boleh dilanggani dengan hanya RM129 sebulan.

Ia ditawarkan dengan pilihan pakej hiburan premium daripada unifi TV iaitu Aneka Plus, Varnam Plus atau Pakej Ruby Plus.

Di Sarawak, unifi kini boleh dilanggani di 24 kawasan meliputi lebih daripada 172,000 premis sedia dipasang di 24 kawasan antaranya Kuching, Samarahan, Sri Aman, Sibu, Bintulu, Miri dan Limbang.

Sehingga kini, terdapat lebih 75,000 pelanggan unifi di Sarawak.

Untuk maklumat lanjut mengenai unifi, layari www.unifi.com.my.

Advertisement