Anda di sini

Sistem dan prosedur lesen akan diperketat: JPJ

Advertisement

PONTIAN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memperketatkan sistem dan prosedur pembuatan lesen bagi memastikan kes pengeluaran lesen memandu yang tidak mengikut prosedur kepada orang ramai, tidak berulang.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharudin Khalid berkata, pihaknya pada masa sama akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengkaji dan memantau keseluruhan mekanisme dan metodologi pengambilan lesen, sama ada di peringkat negeri mahupun lesen luar negara.

Katanya, ini adalah langkah proaktif yang perlu diambil berikutan penahanan 12 pegawai dan anggota JPJ sejak September lepas oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas kesalahan guna kuasa dan rasuah yang melibatkan 14,000 pemegang ‘lesen terbang’.

“Kita akan tengok semula sistem dan prosedur lesen kerana apa yang berlaku adalah ada usaha memanipulasi sistem JPJ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan lesen itu diperoleh secara sah.

“Kita akan pastikan tiada ruang dan peluang untuk manipulasi sistem. Apa yang berlaku sekarang kebanyakan lesen terbang berasaskan lesen convert atau yang dialihkan ke negara luar, bermakna dia akan manipulasi sistem dan kita akan tengok sejauh mana kita boleh perketat sistem ini,” katanya pada sidang media selepas melawat pegawai JPJ yang hilang upaya kekal akibat kemalangan jalan raya pada 2016 di Kampung Sawah Dalam di sini, semalam.

JPJ juga akan mengambil tindakan susulan dengan meneliti tindakan tatatertib yang dapat dikenakan ke atas kesemua pegawai dan anggota yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa lesen terbang.

“Semua perkara kita ambil kira, termasuk kemungkinan tindakan susulan kepada pemegang lesen, tetapi mereka diberi tempoh selama dua bulan untuk serah diri. Setakat ini, ada yang menyerah, namun ada juga pemegang lesen yang keliru dan tidak pasti sama ada mereka terlibat dan melakukan kesalahan.

“Tetapi kita mempunyai maklumat terperinci mengenai identiti pemegang lesen terbang, dan kita ambil kira segala apa cadangan dan keputusan dari jawatankuasa khas yang kita tubuhkan itu,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan memberitahu bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan tahan kerja terhadap 12 pegawai dan anggota JPJ yang ditahan SPRM di Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Pada minggu lepas, seorang lagi anggota JPJ di Johor ditahan atas kesalahan sama. — Bernama

Advertisement