MANAGUA: Satu serangan ke atas perarakan oleh penentang Presiden Nicaragua Daniel Ortega telah menyebabkan seorang terbunuh dan sekurang-kurangnya lima lagi tercedera, kata polis kelmarin.
Mangsa tersebut dikenal pasti sebagai Max Romero, yang meninggal dunia akibat satu “kejadian tembak-menembak,” menurut polis dalam satu kenyataan yang mengaitkan kematiannya dengan penunjuk pera-saan.
Kacau-bilau selama beberapa bulan di negara Amerika Tengah telah menyebabkan lebih 320 orang terbunuh, menurut kumpulan hak asasi, namun ketegangan menurun sejak beberapa minggu lepas sebelum muncul semula ketika perarakan kelmarin, yang menyeru bagi pembebasan tahanan politik.
“Saya telah ditembak dan dicederakan oleh anggota separa tentera Daniel Ortega,” kata seorang penunjuk perasaan berusia 41 tahun yang tercedera di bahagian lengan yang tidak mahu menyatakan namanya kepada wartawan AFP, ketika dia menerima rawatan di sebuah gereja di kawasan kejiranan timur di bandar tersebut.
Bryan Garcia berusia 15 tahun, yang terkena tembakan, berkata: “Ia adalah pihak separa tentera, mereka mencederakan saya di bahagian leher hampir dengan bahu saya.”
Antara mangsa lain yang tercedera adalah wartawan Winston Potosme dari rangkaian ‘100% Noticias’, yang tercedera di bahagian lengan.
Perarakan, “Kami adalah suara bagi tahanan politik,” telah diatur oleh saudara-mara kepada sekurang-kurangnya 500 penunjuk perasaan yang dipenjarakan kerana terlibat dalam tunjuk perasaan anti-kerajaan yang bermula pada 18 April. — AFP