Anda di sini

Sarawak tuan rumah edisi sulung Sukan PPTD Borneo

Advertisement
 PPTD Sarawak bersedia menjadi tuan rumah edisi sulung Sukan PPTD Borneo bakal berlangsung di Kuching pada 28 hingga 30 September ini.
BERSEDIA: PPTD Sarawak bersedia menjadi tuan rumah edisi sulung Sukan PPTD Borneo bakal berlangsung di Kuching pada 28 hingga 30 September ini.

KUCHING: Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD) Cawangan Sarawak menjadi tuan rumah bagi edisi sulung Sukan PPTD Borneo bakal berlangsung di sini pada 28 hingga 30 September ini.

Sukan PPTD Borneo 2018 akan dirasmikan oleh Presiden PPTD Cawangan Sarawak, Datuk Mansor Man ditemani Presiden PPTD Cawangan Sabah, Datuk Nor Rizan Mohd Thani.

Menurut kenyataan akhbarnya semalam, sukan tersebut merupakan wadah untuk mengeratkan silaturahim di antara PTD yang berkhidmat di Sarawak dan PTD berkhidmat di Sabah.

Selain itu, ia juga berupaya membuka ruang perkongsian maklumat dan idea di samping membina rangkaian jabatan bagi memudahkan urusan kerja pada masa akan datang.  

Amalan gaya hidup sihat dengan bersukan juga dapat dipupuk sejajar dengan objektif Sukan PPTD Borneo 2018.

Sukan PPTD Borneo ini akan dijadikan sukan tahunan PPTD Cawangan Sarawak dan Sabah yang dianjurkan secara bergilir-gilir.

Selain itu, Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berkhidmat di Pejabat Konsulat Brunei dan Pontianak turut dijemput untuk hadir bersama memeriahkan Program Sukan PPTD Borneo itu.

Bagi edisi sulung Sukan PPTD Borneo 2018 anjuran PPTD Sarawak terdapat lima acara sukan dipertandingkan iaitu badminton, golf, bola sepak, bola jaring dan boling.

Badminton diadakan di Dewan Badminton INTAN Sarawak pada 28 September (8.30 hingga 10.30 malam), golf di Damai Golf & Country Club, Kuching pada 29 September (7 pagi hingga 1 tengah hari).

Acara bola jaring di INTAN Sarawak, Kota Samarahan (7.30 hingga 10 pagi) dan bola sepak di Stadium Negeri, Kuching (7.30 hingga 10 malam).

Acara boling berlangsung di Megalanes Adventure World Kuching pada 30 September (8.30 pagi sehingga 1 tengahari)

Program Sukan PPTD Borneo 2018 dijangka disertai oleh 58 orang PTD dari Sabah dan 89 orang PTD dari Sarawak.

Secara keseluruhannya seramai 130 orang PTD pelbagai gred jawatan masing-masing berkhidmat di Sabah dan Sarawak bakal beraksi.

Advertisement