Anda di sini

Rasuah: Pegawai, anggota jabatan penjara dipenjara tiga dan dua tahun

Advertisement
 Dzul Azam Nani (dua, kiri) dipenjara dua tahun di Mahkamah Sesyen semalam,  atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada tahanan di Penjara Pengkalan Chepa pada Disember 2016. — Gambar Bernama
RASUAH: Dzul Azam Nani (dua, kiri) dipenjara dua tahun di Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada tahanan di Penjara Pengkalan Chepa pada Disember 2016. — Gambar Bernama

KOTA BHARU: Seorang pegawai dan seorang anggota Jabatan Penjara masing-masing dihukum penjara tiga dan dua tahun serta didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu bermula semalam selepas disabitkan bersalah menerima rasuah.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Ketua Inspektor Penjara Mohd Zamri Abdullah, 39, serta L/Kpl Dzul Azam Nani, 34, selepas dibuktikan bersalah menerima sogokan berjumlah RM3,000 daripada Mohd Fakhrul Akashah Mat, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan tatatertib terhadap Wan Muhammad Azlan Wan Mahamood yang positif ujian air kencing ketika ditahan di Penjara Pengkalan Chepa.

Dzul Azam dituduh dengan pertuduhan pindaan pertama menerima rasuah daripada Mohd Fakhrul Akashah bagi pihak Mohd Zamri pada 20 Dis 2016 pada jam 6 petang di sebuah restoran makanan segera di Baung, Pengkalan Chepa di sini, sebelum menyerahkan wang sogokan itu kepada Mohd Zamri, yang turut dituduh dengan pertuduhan pindaan pertama pada jam 10.15 malam di JKR 295A Kuarters Penjara Pengkalan Chepa pada hari yang sama.

Dzul Azam, yang diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed dituduh di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Mohd Zamri yang diwakili peguam Shaharuddin Mohamed pula dituduh di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun, denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000.

Terdahulu, kedua-dua peguam merayu Hakim Ahmad Bazli menjatuhkan hukuman dan denda minimum kepada kedua-dua tertuduh memandangkan mereka merupakan penyara utama keluarga, tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah dan sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh Timbalan dan Penguasa Penjara Pengkalan Chepa.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwaraya SPRM Shahidah Muslimah Roslan memohon hukuman berat dikenakan ke atas kedua-dua tertuduh memandangkan mereka merupakan penjawat awam yang diberikan kuasa yang diamanahkan untuk menjaga keselamatan banduan.

“Penjara institusi yang penting kerana ia menempatkan pesalah-pesalah yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, justeru rasuah di kalangan pegawai penjara adalah sesuatu yang amat serius kerana ia melibatkan keselamatan negara dan keamanan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Kedua-dua peguam tertuduh kemudiannya merayu penangguhan hukuman kerana perlu membuat rayuan di Mahkamah Rayuan dan dibenarkan oleh Hakim Ahmad Bazli dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 seorang.

Hakim Ahmad Bazli turut mengarahkan wang suapan berjumlah RM3,000 dikembalikan kepada SPRM Kelantan. — Bernama

Advertisement