Anda di sini

Pertumbuhan Malaysia 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2018 dan 2019

Advertisement

KUALA LUMPUR: Pergerakan pertumbuhan Malaysia dijangka kekal pada 4.5 hingga 5.5 peratus tahun ini dan 2019 di sebalik penstrukturan fiskal dan konsolidasi, disumbangkan oleh sektor awam yang mampan dan permintaan eksport.

Profesor Ekonomi Sunway University Business School, Prof Dr Yeah Kim Leng, berkata peningkatan utama dalam prospek pertumbuhan masa depan bergantung kepada menyokong sektor swasta berikutan kenaikan jangkaan keyakinan pelabur sebagai tindak balas terhadap pembaharuan institusi yang nyata dan penyusunan semula ekonomi.

“Ini akan meningkatkan daya saing, mengurangkan rasuah dan ketirisan serta mengukuhkan kewangan awam,” katanya pada Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah Siri CEO 2018 anjuran Rehda Institute, di sini, semalam.   

Yeah, antara panelis, berkata firma di Malaysia bagaimanapun, perlu memacu naik taraf industri melalui peningkatan teknologi dan inovasi khusus untuk keperluan serta daya saing dinamik setiap industri.

Tahun lepas, keluaran dalam negara kasar Malaysia berkembang 5.9 peratus yang didorong oleh permintaan domestik yang kukuh, suasana pasaran buruh yang baik dan pertumbuhan pendapatan, selain permintaan luaran yang semakin baik untuk produk pengilangan negara ini dan eksport komoditi.

Siri CEO 2018 selama sehari itu membincangkan idea baharu ke arah bekerja bersama dalam merangsang dan membina semula ekonomi pascapilihan raya umum ke-14 dengan pemimpin pelbagai kumpulan industri memberikan input kepada kerajaan sebelum pembentangan Bajet 2019 akan datang, selain melihat penyelesaian terhadap isu unit hartanah yang tidak terjual. — Bernama

Advertisement