Anda di sini

Persekitaran lebih kondusif bagi wanita bekerja

Advertisement
 Wan Azizah berswafoto dengan para peserta selepas menyampaikan ucaptama pada Program ‘Women in Economy, Rethinking Entreprenuership For Today’s Women Conference’ di Prai, semalam. — Gambar Bernama
UNTUK KENANGAN: Wan Azizah berswafoto dengan para peserta selepas menyampaikan ucaptama pada Program ‘Women in Economy, Rethinking Entreprenuership For Today’s Women Conference’ di Prai, semalam. — Gambar Bernama

PERAI: Kerajaan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menambah baik dasar dalam menyediakan persekitaran lebih kondusif bagi wanita, terutamanya yang mempunyai anak kecil, untuk menceburi industri pekerjaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, beliau mengambil maklum bahawa terdapat pelbagai halangan yang dihadapi wanita dengan anak kecil untuk menumpukan perhatian kepada kerja mereka.

“Kita nak lihat bagaimana nak perbaiki masalah keadaan itu, saya tahu memang mempunyai masalah menghadapi polisi untuk memperbaiki keadaan bagi wanita yang ada anak kecil.

“Kita mesti buat usaha bersama, antara tiga sektor iaitu swasta, kerajaan dan bukan kerajaan...wujudkan persekitaran yang kondusif yang boleh memperkasakan wanita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Wanita dalam Ekonomi di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan telah meletakkan keutamaan untuk memastikan semua agensi mempunyai pusat jagaan harian (TASKA) di premis masing-masing bagi membolehkan wanita menumpukan perhatian kepada kerja mereka.

Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, berkata sungguhpun terdapat halangan seperti langkah keselamatan serta kesesuaian bangunan, kerajaan berazam untuk menjadikan usaha itu satu kejayaan.

Katanya, kerajaan menetapkan sasaran agar menjelang Januari tahun depan, semua agensinya mewujudkan pusat jagaan harian bagi kemudahan petugas mereka.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah berkata, kerajaan turut menetapkan sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga kerja wanita dalam industri dalam beberapa tahun akan datang.

Beliau berkata, lebih mudah untuk mencapai sasaran itu dalam industri yang dipacu oleh sektor swasta.

“Kami mahu mencapai sasaran 30 peratus itu secepat mungkin, selepas itu kami harap dapat meningkatkannya lagi sehingga 50 peratus, bagaimanapun, kami juga ada kekangan,” katanya.

Beliau berkata, sektor kerajaan juga perlu mempertingkatkan peratusan penyertaan wanita supaya kekal berdaya saing.

Dalam ucaptama itu, Dr Wan Azizah mengetengahkan keperluan untuk mempunyai lebih banyak pemimpin wanita dalam sektor swasta terutamanya di peringkat pembuat keputusan.

“Kita juga memerlukan lebih ramai wanita berkebolehan sebagai aktivis bukan negara dan kita memerlukan lebih ramai wanita dalam sektor kerajaan untuk menjayakan kerjasama dengan sektor swasta dan aktivis bukan negara,” katanya.

Beliau turut menasihati pemimpin wanita supaya mengekalkan kewanitaan mereka dan keseimbangan kerja-kehidupan untuk berjaya dalam masyarakat.

Sementara itu Dr Wan Azizah mengistilahkan semua cadangan itu sebagai ‘Fajr Doctrine’, iaitu permulaan baharu bagi Malaysia yang akan membantu membentuk pembangunan masa depan di Malaysia.

Beliau berkata, selepas keputusan pilihan raya umum 9 Mei, harapan dikaitkan dengan era baharu ini yang dinamakan Malaysia Baharu.

“Sekarang terdapat kurang sekatan terhadap akhbar dan ahli politik perlu membiasakan diri dengan kritikan yang dibuat secara terbuka dan melalui media,” katanya.

Beliau menambah, paling penting kebanyakan rakyat Malaysia percaya bahawa keadaan akan menjadi semakin baik.

Katanya, dengan kerajaan baharu, pendekatan dalam mengurangkan kemiskinan akan memberi tumpuan kepada mewujudkan peluang pekerjaan melalui keusahawanan sosial dan program lain yang dapat membasmi kemiskinan.

“Dengan pendekatan ini, pengurangan kemiskinan bukan sekadar memberi bantuan ala BR1M,” katanya.

Persidangan dua hari anjuran Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang itu bertujuan untuk memanfaatkan potensi wanita untuk mencapai pembangunan ekonomi yang lestari.

Persidangan bertemakan ‘Memikirkan semula Keusahawanan untuk Wanita Hari Ini’ akan menjadi tempat pertemuan penting untuk menyusun atur dasar dan program pembangunan yang menyokong wanita dalam ekonomi serta menangani bidang yang memerlukan pemerkasaan wanita dalam ekonomi. — Bernama

Advertisement