Anda di sini

Pendera dijatuhi hukuman penjara setahun setengah

Advertisement
__

SIBU: Mahkamah Seksyen di sini semalam memerintahkan seorang wanita menjalani hukuman penjara satu tahun setengah kerana didapati bersalah mendera seorang anak kecil di bawah jagaannya.

Jennifer James, 32, dari Jalan Laichee di sini mengaku bersalah atas kesalahan diperuntukkan di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31 (1) akta sama.

Di bawah akta ini, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.

Jennifer didakwa mendera seorang kanak-kanak perempuan berusia satu tahun dua bulan ketika berada di bawah jagaannya di sebuah bilik hotel, Jalan Lebuh Tanahmas di sini kira-kira jam 10 pagi pada 11 Ogos tahun lalu.

Mengikut fakta kes, di sebuah bilik hotel kira-kira jam 2 pagi hari berikutnya, ibu saudara kepada pengadu mengambil anak perempuan pengadu daripada tertuduh kerana mangsa menangis tanpa henti.

Selepas mengambil mangsa daripada tertuduh, ibu saudara kepada pengadu mendapati terdapat beberapa kesan lebam dan kecederaan pada kaki kiri, perut dan bahagian kiri badan mangsa.

Ayah kepada mangsa kemudian membuat laporan polis.

Selepas menerima laporan itu, pasukan polis terus menangkap tertuduh di hotel berkenaan untuk membantu siasatan.

Advertisement