OSLO: Seorang lelaki Rusia ditangkap di Norway kerana disyaki mengintip semasa satu seminar di parlimen negara, kata agensi perisikan Norway kelmarin.
Rakyat Rusia berusia 51 tahun itu ditahan pada Jumaat lepas serta disyaki terbabit “aktiviti perisikan haram”, menurut media tempatan, dan berdepan dengan hukuman pejara selama tiga tahun.
“(Lelaki itu) ditangkap pada malam Jumaat di Lapangan Terbang Oslo... dan ditempatkan dalam tahanan pada Sabtu lepas selama dua minggu,” Trond Hugubakken, pengarah komunikasi agensi perisikan domestik PST, memberitahu AFP.
Ejen yang disyaki telah dituduh mengintip semasa satu seminar antara parlimen yang mengumpulkan para wakil dari 34 negara untuk membincangkan pendigitalan di Stortinget, parlimen Norway, menurut Hugubakken.
Duta Rusia di Norway, Teimuraz Ramishvili mengkritik penahanan tersebut dalam laman Facebook beliau, menyatakan penahanan adalah berdasarkan satu “helah yang mengarut”.
Penahanan itu adalah yang terbaharu dalam beberapa perbalahan mengenai pengintip antara negara barat dan Rusia.
Pada awal bulan ini pegawai Swiss telah menuduh beberapa ejen Rusia melancarkan serangan siber ke atas makmal Spiez di Bern dan pejabat Lausanne untuk Agensi Anti-Doping Sedunia (WADA).
Makmal tersebut, yang melakukan tugas-tugas analitikal untuk Organisasi untuk Larangan Senjata Kimia (OPCW) yang berpusat di Hague, sedang menyiasat kejadian keracunan terhadap ejen pengintip Rusia Sergei Skripal di Britain.
WADA telah menjadi duri bagi Moscow selama beberapa tahun selepas pendedahan mengenai satu skim yang di-sokong oleh Rusia bagi meng-elak ujian dadah. — AFP