Anda di sini

Jangan salah guna kuasa, menyeleweng: Tuanku Muhriz

Advertisement
 Tuanku Muhriz menerima titah ucapan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun pada Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14 di Seremban, semaalm. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Al Marhum Tengku Besar Mahmud (kanan). — Gambar Bernama
DIPERSEMBAHKAN: Tuanku Muhriz menerima titah ucapan yang dipersembahkan oleh Menteri Besar Aminuddin Harun pada Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14 di Seremban, semaalm. Turut berangkat Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Al Marhum Tengku Besar Mahmud (kanan). — Gambar Bernama

SEREMBAN: Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir mengingatkan pemimpin negeri, wakil rakyat dan kakitangan awam agar tidak menyalahguna kuasa dan melakukan penyelewengan.

Baginda bertitah, dalam perkara itu kesemua mereka diingatkan agar menjalankan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti termasuk mengamalkan prinsip ‘check and balance’ dalam jentera pentadbiran kerajaan.

“Akhir-akhir ini rakyat Malaysia didedahkan dengan berita yang berlaku dalam negara ini mengenai salah guna kuasa dan penyelewengan yang ekstrem yang boleh memusnahkan negara.

“Apa yang mengecewakan ialah salah guna kuasa dan penyelewengan ini telah berlaku sekian lama tanpa tindakan berkesan yang boleh diambil oleh mana-mana pihak.

Beta bersyukur Pilihan Raya Umum Ke-14 mencatat sejarah hasil demokrasi yang diamalkan negara, hanya apabila rakyat bersuara melalui pilihan raya ini, tindakan yang sepatutnya dibuat awal-awal lagi ke atas salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Beta menyeru agar perkara seperti ini tidak akan berlaku lagi sampai bila-bila. Prinsip ‘check and balance’ perlu wujud dalam jentera pentadbiran kerajaan untuk memastikan negara bebas daripada sebarang salah laku. Semua wakil rakyat, agensi penguatkuasa dan kakitangan awam hendaklah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan akauntabiliti tanpa ada agenda kepentingan peribadi,” titah baginda pada istiadat pembukaan perasmian persidangan kedua penggal pertama Dewan Undangan Negeri yang ke-14.

Mengenai prestasi ekonomi dan kewangan negeri, Tuanku Muhriz menzahirkan rasa sukacita apabila kerajaan negeri berjaya mencatatkan lebihan dalam prestasi kewangan tahun 2017 berjumlah RM26.31 juta.

“Selain itu, Beta berasa sukacita dan bersyukur apabila jumlah kutipan zakat sentiasa meningkat setiap tahun. Pada tahun 2017, jumlah kutipan zakat sebanyak RM120 juta, meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun 2016 iaitu sebanyak RM100 juta. Kutipan ini membolehkan Kerajaan membantu meringankan beban golongan asnaf di negeri ini.

“Dari segi penyertaan pelabur pula, Beta berharap penyertaan pelabur dapat dipertingkatkan dengan menyediakan kemudahan infrastruktur yang kondusif dan sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berintegriti oleh semua agensi Kerajaan,” titah baginda.

Baginda bertitah, melalui program yang dirangka di bawah Dasar Jaringan Keselamatan Sosial, kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM1.13 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2017 yang melibatkan seramai 1.27 juta penerima.

“Beta percaya dengan jumlah perbelanjaan itu, rakyat telah mendapat manfaat hasil kekayaan negeri ini. Beta juga telah disembah maklum bahawa pelaksanaan dasar ini merangkumi aspek modal insan, pemeliharaan kebajikan rakyat, bantuan kesihatan dan program sokongan ekonomi kepada rakyat.

“Beta mahu supaya kejayaan melaksanakan program dan projek yang dirangka melalui dasar Jaringan Keselamatan Sosial ini diteruskan dan diperluaskan lagi skop pelaksanaannya.

Dalam pada itu, Tuanku Muhriz bertitah, kemajuan sesebuah negeri bukan hanya berdasarkan kepada kepesatan pembangunan di kawasan bandar sahaja sebaliknya setiap aspek berkaitan dengan pembangunan dan kemajuan seharusnya merangkumi kawasan di luar bandar serta pedalaman supaya kemajuan negeri adalah seimbang dan saksama.

Titah Baginda, sehubungan itu, peruntukan yang mencukupi dan usaha yang berterusan hendaklah dilaksanakan untuk meningkatkan kemudahan infrastruktur, pembangunan tanah terbiar dan sektor pertanian di kawasan luar bandar.

Selain itu, Baginda bertitah bahawa kerajaan juga harus memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi khususnya kemudahan internet berkelajuan tinggi. Pelaburan dalam teknologi jalur lebar seperti ini akan mendatangkan manfaat keilmuan serta manfaat ekonomi kepada rakyat.

“Beta juga berpandangan bahawa aspek lain yang perlu diberi perhatian serius oleh Kerajaan adalah pelaburan dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan kesihatan. Pelaburan yang telah dilaksanakan dalam bidang ini adalah usaha wajar dan pintar oleh Kerajaan dalam mempersiapkan negeri pada masa hadapan. Perhatian dan galakan Kerajaan dalam hal ini akan mendorong penemuan dan inovasi yang mampu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Satu lagi aspek yang tidak kurang pentingnya adalah tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu dan produktiviti pertanian merangkumi sektor tanaman makanan, perikanan dan penternakan. Usaha ini akan dapat menambah pengeluaran hasil pertanian yang sekali gus mendorong kepada jaminan bekalan dan kestabilan harga,” titah baginda.

Untuk itu, dalam menterjermah program dan projek yang telah dirangka, Tuanku Muhriz bertitah kepentingan dasar prinsip tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan, di mana pandangan rakyat turut diambil kira.

“Oleh itu, proses perundingan awam perlu diperbanyakkan dalam mencapai setiap keputusan dan pelaksanaan kerangka utama pembangunan negeri. Jauhkanlah sikap menjalankan program atau projek semata-mata untuk golongan tertentu sahaja sehingga mengetepikan kepentingan rakyat jelata,” titah baginda.

Dalam aspek pemerkasaan agama Islam, Tuanku Muhriz bertitah sebagai Ketua Agama Negeri, Baginda mahu pentadbiran Kerajaan memberikan perhatian serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam.

“Bagi memajukan umat, bidang pendidikan dan ekonomi mesti diberikan keutamaan. Kekuatan dalam dua bidang ini adalah benteng sebenar mempertahankan akidah dan maruah umat Islam. Beta yakin Kerajaan akan memartabatkan lagi Agama Islam dan umat Islam di negeri ini menerusi gerak kerja yang profesional yang tentunya akan dapat menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai Ad-din.

“Perhatian serius kepada usaha memajukan umat Islam ini tidak sesekali menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat Beta yang lain. Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan seluruh rakyat,” titah baginda.

Terdahulu Tuanku Muhriz memeriksa kawalan kehormat Batalion ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Leftenan Mohd Nor Azam Shazali. — Bernama

Advertisement