Anda di sini

Jang BS buktikan pengalaman beraksi di final

Advertisement
 Jang BS meraikan kemenangan mereka setelah merangkul juara Piala Liga Betong kelmarin.
KAMI JUARA: Jang BS meraikan kemenangan mereka setelah merangkul juara Piala Liga Betong kelmarin.

BETONG: Jang BS membuktikan pengalaman beraksi di pentas lebih tinggi mampu dijadikan bekalan menjinakkan lawan kurang pendedahan apabila membenam PPMB FT dengan 2-0 pada aksi final Liga Betong 2018 di Kompleks Sukan Betong kelmarin.

Jaringan awal penyerang prolifik skuad Belia Sarawak, Azafarezal Harun menguatkan jentera serangan Jang BS minit kedua permainan menyaksikan lawan mencuba pelbagai strategi untuk mencari gol.

Namun, skuad yang menurunkan beberapa tonggak Piala Belia Sarawak itu mengawal permainan cukup bertenaga dengan serangan bertubi-tubi ke pintu gol lawan.

Dalam pada itu, ketinggalan satu jaringan tidak melemahkan PPMB FT yang kental bertahan dan sekali-sekala mencemaskan lawan dengan serangan balas.

Kekentalan benteng pertahanan PPMB FT diterajui ketua pasukan, Muhamad Reza Ahmad menidakkan usaha lawan untuk menggandakan gol meskipun diasak serangan bertali arus lawan.

Lewat permainan Jang BS berjaya melepasi benteng lawan menerusi Sahidun Yazid pantas menyambar bola lorongan Azafarezal dalam petak penalti berjaya mengegar jaring  menambah koleksi gol pada minit ke-88 sekali gus membawa kejuaraan buat Jang BS.

Dengan kejuaraan itu, Jang BS membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta trofi pusingan, piala iringan dan medal.

Manakala PPMB FT menjadi naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta piala dan medal.

Sementara itu, Jurulatih Jang BS, Bujang Ujih begitu teruja atas kemenangan pasukan pada penyertaan kali ini.

“Berbaloi rasanya menyerap pemain-pemain berpengalaman menyarung jersi Sarawak dalam pasukan yang dibentuk.

“Kita lihat dengan adanya mereka mencorakkan rentak pelbagai dalam permainan memberi semangat kepada pemain-pemain muda untuk mengekalkan momentum perlawanan dengan menyajikan rentak menyerang,” katanya.

Beliau turut menegaskan kepada anak-anak buahnya memberi saingan lebih cemerlang pada aksi perebutan Piala Timbalan Ketua Menteri 1(TKM1) selepas ini.

“Saya berharap pemain-pemain dapat mengekalkan momentum sekali gus memberi cabaran pada aksi suku akhir Piala TKM1 nanti.

“Saya juga percaya jika pemain-pemain berjaya mengekalkan momentum kemenangan, piala berprestij di Bahagian Betong, Piala TKM1 akan menjadi milik pasukan kami.

“Piala Liga Betong 2018 telah mampu digapai dan dijulang pada masa sama berusaha mencari kejuaraan berganda dan menjulang Piala TKM1 2018,” ujarnya.

Final Liga Betong telah disempurnakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Betong (BDFA), Nelson Kloni Kanang yang melakukan sepak mula perlawanan.

Residen Bahagian Betong, Friday Belik yang berkesempatan hadir dan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

  • oleh
  • Advertisement