Anda di sini

Ekuiti pasaran sedang pesat membangun kini lebih konstruktif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Ekuiti pasaran sedang pesat membangun kini lebih konstruktif dengan sentimen optimis berikutan kehadiran petunjuk ekonomi positif di negara-negara maju, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ini ternyata berbeza daripada keadaan pasaran itu pada awal sehingga pertengahan September berikutan pertikaian perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan selain faktor impak situasi di Argentina dan Turki akibat krisis kejatuhan mata wang negara berkenaan.

“Bagaimanapun pada minggu ini, pasaran ekuiti ternya lebih konstruktif selepas perkembangan seperti tindakan China memberi jaminan tidak akan menurunkan nilai mata wangnya dan kesan tindak balas China membabitkan kadar tarif terbaru dikenakan AS juga adalah agak minimum.

“Berikutan itu, seakan ada rasa optimis di pasaran selain petunjuk ekonomi yang positif dari negara-negara maju,” katanya kepada Bernama.

Prestasi Bursa Malaysia misalnya baik dengan indeks penanda aras  FTSE Bursa Malaysia KLCI yang meningkat 0.7 peratus bagi asas perbandingan bulan ke bulan, katanya.

“Kami percaya pasaran telah ‘lega’ kerana China tidak akan menurunkan nilai mata wangnya sebagaimana dinyatakan oleh kalangan pemimpinnya walaupun pilihan sedemikian agak mencabar kerana China mempunyai pilihan terhad bagi menjadikan tarif sebagai langkah tindak balasnya.

“Namun, ketidaktentuan itu masih ada dalam tempoh menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) AS pada minggu depan (25-26 Sept). Pasaran pastinya akan menunggu sebarang pengumuman mesyuarat itu bagi mendapatkan sebarang petunjuk berhubung pelaksanaan kenaikan kadar faedah negara itu,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Mohd Afzanizam berkata ekonomi AS juga berkembang dengan pantas dalam suku kedua 2018 pada kadar 4.2 peratus yang melangkaui unjuran jangka panjang sebanyak 1.8 peratus.

Pada masa sama, purata pendapatan setiap jam juga telah berkembang 2.9 peratus bagi tahun ke tahun pada Ogos iaitu melepasi purata 2.2 peratus sejak 2010, sekali gus menyokong langkah kenaikan kadar faedah itu.

Menurutnya, sekiranya Rizab Persekutuan beralih ke arah kenaikan lebih agresif, ini pasti menjejaskan pasaran sedang pesat membangun kerana pengukuhan dolar AS.

Selain itu, pertikaian perdagangan AS dan China masih ada walaupun dilihat reda kerana tidak membabitkan penurunan mata wang China dan perkembangan ini tetap menyebabkan pelabur terus mengambil sikap berhati-hati.

Sementara itu, Penganalisis Penyelidikan Malaysian Industrial Finance Bhd (MIDF), Adam Mohamed Rahim berkata bagi tiga hari pertama dagangan minggu ini di Malaysia, aliran masuk bersih dana asing melonjak kepada RM207 juta berbanding kemasukan bersih asing pada minggu lepas hanya sebanyak RM2.6 juta .

“Pelabur asing merupakan pembeli bersih pada Rabu dan Khamis selain terdapat aliran keluar bersih dana asing yang kecil sebanyak RM1.1 juta pada Isnin,” katanya.

Khamis lepas mencatat aliran masuk bersih dana asing tertinggi berjumlah RM151.6 juta berikutan perang dagangan AS-China yang dilihat tidak menjejaskan sentimen pelabur.

Sehubungan itu, katanya, tidak dinafikan bahawa faktor luaran seperti masalah perdagangan global terbukti amat mempengaruhi minat pelabur asing terhadap pasaran negara sedang pesat membangun.

Adam berkata, dalam kalangan rakan ASEAN, Malaysia mencatat aliran masuk dana asing kedua tertinggi selepas Thailand.

Thailand merupakan penerima terbesar dengan aliran masuk bersih dana asing pada Isnin hingga Khamis bernilai AS$107.8 juta manakala Filipina menyaksikan aliran keluar bersih dana asing terbesar bernilai AS$29 juta.

Pada asas perbandingan setakat tahun ini pada Khamis, beliau berkata Malaysia juga kekal sebagai negara mencatat aliran keluar bersih dana asing kedua terendah dalam kalangan empat pasaran ASEAN bernilai RM9.0 bilion atau AS$2.3 bilion manakala Thailand menyaksikan aliran keluar bersih dana asing terbesar bernilai AS$6.5 bilion.

“Selain perkembangan luar membabitkan perdagangan global, kami berpendapat peristiwa akan datang seperti kajian semula Rancangan Malaysia ke-11 bagi jangka pertengahan dan pembentangan Bajet 2019 akan menjadi salah satu faktor utama yang boleh mempengaruhi persepsi pelabur terhadap pasaran tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas prestasi ringgit, Afzainizam berkata unit tempatan itu akan terus bergerak sekitar tahap sokongan dan rintangan semasa iaitu 4.09 dan 4.15 berbanding dolar AS berikutan pelbagai peristiwa dan sentimen global pada masa ini.

Menurutnya, ringgit juga telah meningkat sebanyak kira-kira 0.2 peratus pada asas minggu ke minggu kepada 4.1305 pada Khamis, sejajar dengan perkembangan luar yang lebih memihak kepada aset pasaran negara sedang pesat membangun.

“Ringgit juga menunjukkan prestasi lebih baik berbanding mata wang serantau dengan peniaga yang ternyata kurang mengambil kira kesan perkembangan di Argentina, Turki, Afrika Selatan dan sedikit sebanyak Indonesia, terhadap Malaysia,” katanya.

Selain itu, Hong Leong menerusi satu nota penyelidikannya berkata ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS minggu ini berikutan persepsi kurang memberangsangkan terhadap mata wang negara maju itu.

Menurutnya, senario kurang negatif membabitkan hubungan AS-China juga akan lebih memihak kepada ringgit walaupun mata wang Malaysia itu masih memerlukan pemangkin positif di peringkat domestik bagi mengekalkan aliran peningkatannya. — Bernama

Advertisement