Anda di sini

Bahana tiada elektrik

Advertisement
 Orang ramai menunggu giliran masing-masing dengan keadaan di klinik kembali pulih jam 9.40 pagi semalam.
TIADA ELEKTRIK: Orang ramai menunggu giliran masing-masing dengan keadaan di klinik kembali pulih jam 9.40 pagi semalam.

MIRI: Operasi Klinik Kesihatan Tudan dekat sini terganggu lebih sejam pagi semalam berikutan bekalan elektrik terputus dan menyebabkan sistem penggiliran nombor serta ‘roller shutter’ di kaunter pendaftaran tidak berfungsi.

Orang ramai yang mendapatkan rawatan, mengambil ubat dan melakukan ujian darah tiba seawal jam 7 pagi melahirkan rasa kesal mendapati sistem penggiliran nombor tidak berfungsi dan kaunter pendaftaran masih ditutup kerana ‘roller shutter’ tidak dapat dibuka.

Keadaan itu menyebabkan orang ramai terpaksa berbaris panjang menunggu bekalan elektrik dipulihkan namun tidak kurang dilihat keluar meninggalkan poliklinik tersebut.

Hanya pesakit datang melakukan ujian darah dapat meneruskan urusan seperti biasa tanpa perlu menggunakan mesin sistem penggiliran tersebut.

Difahamkan masalah tersebut berlaku disebabkan kerosakan teknikal bekalan elektrik di klinik berkenaan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo dan Naib Pengerusi Wanita PKR Voon Shiak Ni turut melawat klinik tersebut selepas menerima aduan orang awam untuk mengetahui masalah dihadapi pengurusan Klinik Kesihatan Tudan itu.

 Dr Maurice (berbaju putih) memberi penerangan kepada Dr Teo berhubung masalah yang berlaku.
TAKLIMAT: Dr Maurice (berbaju putih) memberi penerangan kepada Dr Teo berhubung masalah yang berlaku.

Pengarah Klinik Kesihatan Tudan Dr Maurice Steve Utap berkata, sistem penggiliran nombor di klinik itu tidak dapat berfungsi seperti biasa sejak awal pagi menyebabkan pihaknya menghubungi juruteknik untuk membaiki sistem tersebut.

“Sistem penggiliran nombor itu rosak selama sejam dari awal pagi tadi (semalam) dan juruteknik kami berjaya membaikinya jam 9 pagi dan kaunter pendaftaran mulai berfungsi sekitar jam 9.40 pagi (semalam),” katanya.

Dr Teo turut melahirkan rasa gembira terhadap tindakan pantas diambil Dr Maurice dan kakitangannya bagi menyelasaikan masalah dengan segera.

“Ini adalah selaras dengan slogan kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengutamakan kebajikan dan keperluan rakyat serta berkhidmat dan menjaga keutamaan orang awam,” ujar Dr Teo.

Beliau berkata Dr Maurice juga mengakui ketika sistem itu rosak dan menghadapi masalah, pesakit terpaksa berbaris panjang tetapi pihaknya kemudian mengambil langkah menggunakan sistem nombor secara manual sementera menunggu juruteknik membaiki kerosakan tersebut.

Menurut Dr Maurice, Klinik Kesihatan Tudan memberi perkhidmatan rawatan kepada penduduk sekelilingnya yang mempunyai populasi seramai 130,000 orang.

Kawasan tersebut merangkumi penduduk di kawasan Jalan Pujut 7 hingga ke Kuala Baram dengan purata seramai 800 orang pesakit mendapatkan rawatan di klinik itu setiap hari.

  • oleh
  • Advertisement