Anda di sini

Sabah yakin peluang masih terbuka

Advertisement
JELIUS ATING
JELIUS ATING

KOTA KINABALU: Sabah yakin peluangnya ke separuh akhir masih terbuka selepas hanya tewas tipis 1-2 ditangan Kelantan pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan pada Sabtu.

"Kita belum tewas kerana ini adalah perlawanan timbal balik. Kelantan hanya dapat kelebihan awal di gelanggang sendiri tetapi penentuannya adalah apabila kita menjadi tuan rumah (di Stadium Likas) pada perlawanan kedua nanti (29 September).

"Kita masih boleh tentukan perlawanan ini. Satu gol di tempat lawan juga satu kelebihan... kalau boleh pastikan gawang kita tidak bolos (pada peralwanan kedua di Stadium Likas), satu jaringan pun memadai untuk kita ke separuh akhir," kata ketua jurulatih, Jelius Ating ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Mengenai kekalahan di Kelantan, Jelius berkata, tiada apa yang boleh beliau tuntut dari pemain kerana mereka telah memberikan yang terbaik.

"Bukan mudah bila bermain lebih 50 minit dengan kurang satu pemain selepas Randy (Baruh - pemain pertahanan) diperintah keluar padang oleh pengadil perlawanan pada minit ke-40.

"Keputusan pengadil melayangkan kad kuning kemudian kad merah kepada Randy selepas merempuh pemain Kelantan agak mengejutkan. Ia telah menjadikan petarungan itu tidak adil buat kita kerana terpaksa bermain dengan 10 pemain.

"Bagaimanapun, kami berjaya melakukannya dengan bermain lebih baik pada separuh masa kedua. Walaupun tidak menjaringkan gol, sekurang-kurangnya kita dapat pastikan gawang kita juga tidak bolos untuk kedudukan 2-1 pada separuh masa pertama kekal," kata Jelius.

Kelantan mendahului 1-0 hasil jaringan Aktyiar Duishobekov pada minit ke-29 tetapi Hamran Peter berjaya menyamakan kedudukan kepada 1-1 pada minit ke-43 ketika Sabah beraksi dengan 10 pemain selepas Randy diperintah keluar padang tiga minit sebelumnya.

Kelantan hanya  bernasib baik memperolehi gol kemenangan selepas dihadiahkan sepakan penalti yangg disempurnakan dengan baik oleh Nik Akif Syahiran Nik Mat pada masa kecederaan separuh masa pertama.

"Perlawanan itu juga telah memberi kita pelajaran berguna untuk menghadapi perlawanan kedua nanti. Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menterbalikkan keputusan agar memihak kepada kita di Stadium Likas," kata Jelius.

Sambil itu, Jelius berharap pengadil perlawanan membuat keputusan lebih bijaksana agar kesenian permainan bola sepak tidak terjejas.

"Kad merah kepada Randy memang mengejutkan saya. Selepas dilayangkan kad kuning pertama terus kad merah. Saya bukan jenis yang suka pertikaikan keputusan pengadil dan saya bukan mahu cari alasan dengan kekalahan.

"Saya akur dengan kekalahan tersebut tetapi layangan kad merah itu tetap menghairankan. Saya cuma harap pengadil akan membuat keputusan dengan lebih bijaksana kerana ia mencerminkan imej mereka dan bola sepak negara," kata Jelius.

  • oleh
  • Advertisement