Anda di sini

Sabah akan bertambah kuat di Sukma akan datang

Advertisement
ARUNARNSIN (tengah di depan) bersama Timbalan Setiausaha Tetap KBS Sabah, Mat Jaidin Yassin (kanan di depan) dan Pengarah MSN Sabah, Terrance Edward Pudin (kiri) mengetuai perbarisan kontinjen Sabah pada penutup Sukma XIX Perak 2018 di Stadium Perak, Sabtu lalu.
ARUNARNSIN (tengah di depan) bersama Timbalan Setiausaha Tetap KBS Sabah, Mat Jaidin Yassin (kanan di depan) dan Pengarah MSN Sabah, Terrance Edward Pudin (kiri) mengetuai perbarisan kontinjen Sabah pada penutup Sukma XIX Perak 2018 di Stadium Perak, Sabtu lalu.

KOTA KINABALU: Chef de Mission Arunarnsin Taib yakin Sabah akan bertambah kuat pada Sukma akan datang.

Beliau yang juga Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah berkata, kejayaan melakar sejarah pencapaian terbaik dengan kutipan 32 pingat emas, 28 perak dan 46 gangsa di Sukma XIX Perak yang melabuhkan tirai pada Sabtu adalah petanda jelas kebangkitan sukan Sabah.

Katanya, bermula dengan hanya 9 pingat emas pada edisi pertama sukan dwi tahunan terbesar negara itu di Kuala Lumpur pada 1986, Sabah kemudiannya mengorak langkah positif.

Arunarnsin berkata, peningkatan pencapaian pada empat edisi terakhir  berturut-turut  (tidak termasuk mini Sukma) meletakkan sukan Sabah di landasan yang baik dalam program pembangunan sukan.

Pada Sukma XV Pahang 2012, Sabah meraih 18 emas, 20 perak dan 52 gangsa (18-20-52), Sukma XVII Perlis 2014 (21-31-44) dan Sukma XVIII Sarawak 2016 (25-37-38) sebelum mempertingkatkannya lagi dengan pencapaian terbaik di Sukma XIX Perak.

Sukma XVI Kuala Lumpur 2013 hanya Mini Sukma yang hanya mempertandingkan sukan yang tidak dipertandingkan di Sukma pada setiap dua tahun.

"Dengan kerja keras, kesungguhan dan komitmen serta disiplin semua yang terlibat, saya yakin Sabah akan terus melangkah maju di Sukma akan datang," kata Arunarnsin ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Mengenai kegagalan mengotakan sasaran 44 emas di sebalik pencapaian yang disifatkan di luar jangkaan di Perak, Arunarnsin berkata, ia disebabkan beberapa sukan gagal mengotakan sasaran.

"Bagaimanapun ia bukan kegagalan mutlak kerana ada yang telah mencatat keputusan peribadi terbaik malahan menyamai atau mengatasi rekod lama kejohanan tetapi masih gagal meraih emas.

"Tiada apa yang boleh kita tuntut apabila atlet atau pasukan sudah melakukan yang terbaik tetapi masih gagal menang emas. Apa yang perlu ialah untuk mereka (atlet atau pasukan) terus berusaha memajukan diri," katanya.

Arunarnsin mengucapkan syabas kepada semua atlet dan jurulatih serta pegawai yang terlibat.

Beliau juga berterima kasih kepada sokongan kuat Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal dan Menteri Belia Dan Sukan, Frankie Poon Ming Fung yang membolehkan Sabah menghantar kontinjen terkuat pada Sukma Perak.

KONTINJEN Sabah turut diceriakan apabila pemenang empat pingat emas acara memanah individu, Eugenius Loh Foh Soon dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Sukma XIX Perak 2018. 
KONTINJEN Sabah turut diceriakan apabila pemenang empat pingat emas acara memanah individu, Eugenius Loh Foh Soon dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Lelaki Terbaik Sukma XIX Perak 2018. 

Sabah menyertai 23 daripada 29 jenis sukan yang dipertandingkan dengan kekuatan kontinjen 565 orang yang terdiri daripada 424 atlet (235 lelaki dan 189 wanita) serta 141 pegawai.

Skuad futsal lelaki dan wanita bagaimanapun menarik diri sebelum bertanding ekoran gejala penyakit beguk (MUMPS).

Johor akan menjadi tuan rumah Sukma 2020.

  • oleh
  • Advertisement