Anda di sini

Puting beliung membadai Ottawa

Advertisement
 Kelihatan beberapa bangunan yang musnah selepas puting beliung membadai kawasan kejiranan Mont-Bleu di Gatineau, Quebec di Kanada kelmarin. — Gambar Reuters
BENCANA ALAM: Kelihatan beberapa bangunan yang musnah selepas puting beliung membadai kawasan kejiranan Mont-Bleu di Gatineau, Quebec di Kanada kelmarin. — Gambar Reuters

OTTAWA: Lebih dari 200,000 orang di wilayah Ottawa bandar utama Kanada telah mengalami masalah ketiadaan elektrik kelmarin dan dua orang telah mengalami kecederaan kritikal selepas satu puting beliung yang sangat kuat memusnahkan beberapa rumah dan menerbangkan beberapa kereta di udara.

Selepas melawat kawasan yang teruk terjejas Dunrobin, di bahagian barat bandar, Datuk Bandar Ottawa Jim Watson telah menyamakan ia dengan satu pengeboman udara, sambil menambah bahawa puting beliung pada Jumaat lepas sebagai di antara “dua atau tiga kejadian utama yang menimbulkan traumatik yang telah menjejaskan bandar kami” dalam sejarah.

“Saya tidak pernah mengalami sesuatu seperti ini sepanjang hidup saya menetap di Ottawa.”

Gatineau, di wilayah Quebec hanya di utara Ottawa, turut dilanda dengan teruk oleh ribut yang mana anginnya telah mencecah 200 kilometer sejam.

Kira-kira 30 orang telah tercedera, dengan enam orang dimasukkan ke hospital dan dua orang dalam keadaan kritikal kelmarin, menurut pihak berkuasa hospital.

Ribut turut menumbangkan beberapa batang tiang elektrik di seluruh wilayah, ketika Datuk Bandar Watson meramalkan ia mungkin mengambil masa selama beberapa hari bagi bekalan elektrik dapat dipasang semula untuk semua pihak yang terjejas.

Di kawasan kejiranan Mont-Bleu di Gatineau, seorang penduduk telah merakamkan sebuah video menunjukkan ratusan bahagian serpihan yang berpusing-pusing di udara di antara bangunan-bangunan.

“Terdapat satu pemotongan bekalan elektrik dan kurang seminit kemudian, angin mula memukul cermin,” Vincent-Carl Leriche memberitahu AFP. “Puting beliung itu sendiri berlaku kurang dari dua minit. Serpihan telah berterbangan ke sana-sini, saya tidak pernah melihat apa-apa seperti itu, kecuali di Hollywood,” tambah beliau.

Kanada Tengah biasanya melihat beberapa kejadian puting beliung dalam setahun, terutama pada bulan Jun atau Julai, namun jarang dengan kekuatan sebegitu. — AFP

Advertisement