Anda di sini

Penonton Emmy kurang, ‘Game of Thrones’ menang drama terbaik

Advertisement
 Barisan pelakon ‘Game of Thrones’ bersama anugerah Emmy yang dimenangi mereka. — Gambar AFP
KEMBALI MENANG: Barisan pelakon ‘Game of Thrones’ bersama anugerah Emmy yang dimenangi mereka. — Gambar AFP

ANUGERAH Emmy, malam terbesar dalam dunia televisyen, menyajikan banyak kejutan - daripada lamaran perkahwinan di atas pentas hingga kepada trofi untuk beberapa kegemaran peminat - tetapi tidak ramai penonton mengikutinya, dan acara selama tiga jam itu mencatatkan penarafan rendah dalam sejarah.

Purata 10.2 juta penonton menyaksikan Anugerah Emmy pada 17 September lepas menerusi saluran NBC, turun kira-kira 11 peratus daripada 11.4 juta yang menonton acara gilang-gemilang itu pada tahun lepas, menurut perangkaan Nielsen yang dikeluarkan sehari selepas acara anugerah itu.

NBC cuba menunjukkan wajah yang berani berhubung data tersebut, dengan menyatakan audiens untuk Anugerah Oscar dan Anugerah Grammy pada tahun ini turun dengan margin yang lebih besar.

Namun ia ternyata sukar untuk memutar-belit perangkaan - siaran Monday Night Football di saluran ESPN memperolehi penarafan yang lebih tinggi dalam pasaran bermeter.

Anugerah Emmy sudah bertahun-tahun kehilangan penoton, selepas peminat TV semakin beralih kepada media sosial untuk mengetahui tentang pemenang dan menonton saat-saat penting pada waktu mereka senang.  

 Colin Jost (kiri) dan Michael Che.
HOS: Colin Jost (kiri) dan Michael Che.

Dan kombo pengacara baharu yanng terdiri daripada dua bintang ‘Saturday Night Live’ Colin Jost dan Michael Che seakan-akan tidak menarik peminat baharu.

Saluran utama industri hiburan Variety menganggap acara itu sebagai “hambar”, dan pengacara “gagal meningkatkan tenaga dalam bilik atau malah menjadikan bilik itu sebagai milik mereka”.

Pengkritik Hollywood Reporter Daniel Fienberg menganggapnya sebagai “episod ‘Saturday Night Live’ yang kembung” dan menyelar Jost dan Che kerana “monolog membosankan”, malah mendakwa mereka “tidak cocok untuk acara itu”.

Ia nampak seakan-akan NBC melakukan perkara yang betul untuk mengadakan Anugerah Emmy pada Isnin, bagi memberi ruang kepada program sukan utama Sunday Night Football, yang ditontoni 20.7 juta orang.

Pemenang besar di Anugerah Emmy adalah siri fantasi epik terbitan HBO ‘Games of Thrones’ dan komedi terbitan Amazon yang popular ‘The Marvelous Mrs Maisel’, yang memenangi lapan anugerah pada keseluruhannya.

Acara gilang-gemilang itu turut menyaksikan beberapa kegemaran sentimental membawa pulang anugerah Emmy pertama mereka.

Matthew Rhys memenangi anugerah untuk pelakon drama terbaik bagi siri aksi perisikan ‘The Americans’, Claire Foy dinamakan sebagai aktres drama terbaik bagi lakonannya sebagai Ratu Elizabeth II dalam ‘The Crown’ dan Henry Winkler menang untuk lakonan komedi sokongan dalam ‘Barry’.

Namun hadiah drama yang diiidam-idamkan kembali dimenangi ‘Game of Thrones’, yang tidak layak untuk anugerah Emmy pada tahun lepas, manakala bintang siri Peter Dinklage membawa pulang hadiah bagi pelakon pembantu terbaik untuk lakonannya sebagai Tyrion Lannister.

“Menulis untuk pelakon-pelakon ini di belakang kami adalah penghor-matan sepanjang hayat,” kata penerbit bersama siri itu, David Benioff.

“Namun kami tidak mencipta watak-watak ini. Ia adalah George R.R. Martin. Siri itu tidak mungkin wujud tanpa genius George yang gila.”

‘Game of Thrones’ memenangi sembilan anugerah Emmy pada tahun ini, yang bermakna kisah sinematik mengenai keluarga bangsawan yang berlumuran darah dan merebut Takhta Besi - yang kembali pada 2019 untuk musim kelapan dan terakhir yang disingkatkan - sekarang memiliki 47 anugerah pada keseluruhannya.

Ia memecah rekod program itu sendiri sebagai siri fiksyen paling berjaya sejak Akademi Televisyen pertama kali menganugerahkan hadiah pada 1949.

Pemenang besar lain termasuk ‘The Assassination of Gianni Versace’ terbitan FX, yang memenangi anugerah Emmy bagi siri terhad terbaik dan hadiah lakonan untuk Darren Criss, yang menerima reviu yang amat baik bagi lakonannya yang gelap sebagai pembunuh pereka itu, Andrew Cunanan.

Thandie Newton memenangi anugerah aktres pembantu terbaik dalam drama bagi kerjanya dalam siri koboi futuristik terbitan HBO ‘Westworld’.

Dalam persaingan baharu di antara rangkaian tradisional menentang platform baharu, gergasi striming Netflix dan HBO berakhir dengan keputusan seri di tempat teratas - masing-masing dengan 23 anugerah Emmy. — AFP

Advertisement